Daripada Amirul Mohd Sajadi
MADINAH, 21 April (Bernama) -- Bermula di Masjid Quba, singgah di ladang kurma sebelum berakhir di Bukit Uhud.
Program Ziarah Luar anjuran Tabung Haji (TH) bukan sekadar membawa jemaah haji Malaysia menelusuri lokasi bersejarah di Madinah, malah menghidupkan semangat pengorbanan, ukhuwah dan ketabahan sebagai persediaan rohani sebelum kemuncak ibadah haji di Makkah.
Pengurus Bimbingan dan Ziarah Madinah TH Mohamad Zahir Hussin berkata susunan perjalanan itu dirangka bukan sekadar sebagai lawatan, tetapi sebahagian proses tarbiah untuk membantu jemaah menghayati nilai yang terkandung dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat.
“Di Quba, jemaah bermula dengan ibadah dan keberkatan. Di ladang kurma, mereka melihat sisi kehidupan Madinah. Kemudian di Uhud, mereka dibawa menghayati perjuangan dan pengorbanan.
“Ia bukan sekadar lawatan dari satu tempat ke satu tempat, tetapi perjalanan yang membina jiwa sebelum mereka melangkah ke Makkah,” katanya kepada pemberita semasa sesi ziarah luar diadakan, di sini pada Selasa.
Beliau berkata pendekatan itu membantu jemaah memahami hubungan antara sejarah perjuangan Islam dengan cabaran, kesabaran dan pengorbanan yang menjadi sebahagian daripada pelaksanaan ibadah haji.
Seawal 6 pagi, penulis bersama jemaah lain memulakan ziarah di Masjid Quba, masjid pertama dibina Rasulullah selepas hijrah ke Madinah, yang memberikan peluang menunaikan solat dan menghayati keistimewaannya.
Perjalanan kemudian diteruskan ke ladang kurma, membolehkan jemaah melihat sendiri antara hasil pertanian ikonik Madinah, selain sebahagian mengambil kesempatan membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air.
Bagi jemaah dari Solok Musai, Melaka, Norma Said berkata persinggahan itu melengkapkan pengalaman ziarah sebelum perjalanan diteruskan ke lokasi yang lebih sarat dengan penghayatan sejarah.
“Walaupun saya seorang, tetapi pengurusan TH sentiasa memastikan saya dapat menyertai program yang diatur serta memberikan penerangan yang jelas,” katanya.
Penulis turut berkesempatan untuk singgah seketika di Masjid Qiblatain untuk melihat masjid bersejarah itu, walaupun kunjungan terhad berikutan kerja-kerja pengubahsuaian yang sedang dijalankan.
Mohamad Zahir berkata meskipun singkat, persinggahan itu tetap memberi makna apabila jemaah diingatkan mengenai peristiwa perubahan arah kiblat dari Masjid Al-Aqsa ke Kaabah sebagai simbol ketaatan kepada perintah Allah.
Kemuncak penghayatan ziarah bagi kebanyakan jemaah hadir ketika tiba di Bukit Uhud, lokasi yang menyaksikan gugurnya Saidina Hamzah bersama 69 syuhada dalam peperangan Uhud.
Mohamad Zahir berkata di lokasi itu, jemaah didedahkan kepada nilai pengorbanan dan ketabahan yang menjadi inti pati perjuangan Islam serta relevan dengan penghayatan ibadah haji.
Bagi pasangan suami isteri dari Klebang, Melaka, Faizul Idris, 50, dan Zaihasra Ruskiman, 49, pengalaman ziarah itu membuka dimensi baharu terhadap perjalanan hajinya.
“Jika sebelum ini saya hanya membaca dalam buku sirah tentang pejuangan Rasulullah, tetapi apabila berada di sini baru saya dapat gambaran sebenar tentang pengorbanan yang saya sendiri rasa tidak mampu untuk lakukan," katanya.
-- BERNAMA