DUNIA

Jepun Longgarkan Peraturan Eksport Senjata Bagi Bolehkan Penjualan Ke Luar Negara

21/04/2026 03:14 PM

TOKYO, 21 April (Bernama-Kyodo) -- Kerajaan Jepun pada Selasa menyemak semula had eksport kelengkapan pertahanan bagi membolehkan penjualan senjata ke luar negara dalam usaha memperkukuh kerjasama keselamatan dengan negara sahabat, lapor Kyodo News.

Perubahan yang diluluskan Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara itu dibuat ketika kerajaan Perdana Menteri Sanae Takaichi berusaha memperkukuh industri pertahanan negara di tengah-tengah apa yang disifatkan pentadbiran sebagai persekitaran keselamatan paling serius dihadapi Jepun sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Semakan terhadap "tiga prinsip pemindahan kelengkapan dan teknologi pertahanan" serta garis panduan pelaksanaannya itu memansuhkan peraturan yang mengehadkan eksport kepada lima kategori bukan tempur, iaitu menyelamat, pengangkutan, amaran, pengawasan dan penyahaktifan periuk api laut.

Walaupun semakan itu pada prinsipnya melarang eksport senjata ke negara yang sedang dilanda konflik, ia membenarkan pengecualian “dalam keadaan khas” dengan mengambil kira keperluan keselamatan Jepun dan operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di rantau Indo-Pasifik.

Kelengkapan pertahanan akan dibahagikan kepada kategori “senjata” dan “bukan senjata” berdasarkan sama ada ia mempunyai keupayaan membawa maut.

Eksport barangan bukan senjata seperti sistem radar amaran dan kawalan tidak tertakluk kepada sekatan, manakala eksport senjata termasuk kapal pemusnah dan peluru berpandu hanya dibenarkan ke negara yang telah menandatangani perjanjian dengan Jepun berhubung perlindungan maklumat sulit berkaitan kelengkapan dan teknologi pertahanan.

Perubahan itu, yang menetapkan bahawa Parlimen hanya akan dimaklumkan mengenai eksport senjata selepas kelulusan kerajaan diberikan, berkemungkinan mengundang kritikan daripada parti pembangkang. 

Mereka berhujah bahawa Parlimen sepatutnya memberi kelulusan terlebih dahulu bagi mengelakkan Jepun terlibat dalam memburukkan konflik atau mencetuskan perlumbaan senjata.

Majlis Keselamatan Negara akan meneliti dan memutuskan sama ada untuk meluluskan eksport senjata. 

Pesawat pejuang generasi baharu yang sedang dibangunkan bersama Britain dan Itali akan menjadi pengecualian yang memerlukan kelulusan Kabinet.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Isnin yang dihadiri Takaichi, Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara, Menteri Luar Toshimitsu Motegi, Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi dan beberapa pegawai lain bagi membincangkan cadangan berkenaan.

-- BERNAMA-KYODO

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547501