RENCANA

Bermula Daripada Rebung: Sistem Pendidikan Finland Bantu Bina Penyelesaian Iklim

21/04/2026 08:45 AM
Daripada Zufazlin Baharuddin

Bak peribahasa sedang buluh baik dipatah, jadi buluh melepuh jari, Finland membuktikan bagaimana pendidikan seawal prasekolah dapat menghasilkan masyarakat dengan kesedaran alam sekitar yang tinggi.

Memulakan inisiatif pembangunan lestari sejak awal 1990-an, Finland kini antara peneraju sektor itu dengan pendidikan memainkan peranan utama dalam memupuk budaya menjaga alam sekitar rakyatnya, dan seterusnya membina asas bagi penyelesaian iklim. 

Program media “Penyelesaian Iklim dari Finland” anjuran Kementerian Luar Finland selama seminggu di negara itu pada penghujung tahun lalu membawa Bernama ke bilik darjah beberapa buah institusi pendidikannya termasuk sekolah rendah, dan melihat sendiri bagaimana sistem pendidikan memacu inisiatif Finland dalam menangani perubahan iklim. 

Dr Sari Muhonen daripada Viikki Teacher Training School, Universiti Helsinki, berkata penyertaan, penglibatan dan pembinaan masa depan yang lestari merupakan satu daripada tujuh Kompetensi Teras dalam Kurikulum Kebangsaan Finland bagi Pendidikan Asas 2014.

Beliau berkata model Finland memberi tumpuan kepada amalan harian dengan melibatkan kanak-kanak secara aktif sejak usia awal, bermula dari prasekolah, terutamanya dalam pengasingan sisa, memahami kesan terhadap alam sekitar dan menyertai projek kelestarian yang menjadi asas penyelesaian iklim.


Sekolah Latihan Perguruan Universiti Helsinki Viikki, Sari Muhonen memegang buku Kurikulum Kebangsaan Finland 2014, memfokuskan pada tanggungjawab dan masa depan yang mampan.

Sari berkata pendekatan itu turut menggabungkan pembangunan emosi, seni dan muzik dengan menekankan perspektif jangka panjang serta penglibatan aktif guru dalam proses pembelajaran.

Ketika melawat Viikki Primary School, penulis menyaksikan kanak-kanak berusia tujuh tahun bermain piano dan mempersembahkan lagu dengan lirik berkaitan sisa plastik serta pencemaran di dalam kelas mereka, sebagai sebahagian daripada projek pembelajaran multidisiplin yang bertujuan membina kesedaran awal mengenai penyelesaian iklim.

Pemilihan kata dalam lagu-lagu tersebut mencerminkan tahap pemahaman kanak-kanak tentang kesedaran alam sekitar dan pencemaran plastik.

 

MEMBESAR DALAM KELESTARIAN 

Berdasarkan pemerhatian secara langsung pelaksanaan sistem pendidikan Finland, jelas dilihat pembelajaran berkaitan kelestarian membentuk tabiat kanak-kanak sejak usia awal.

Satu daripada contoh itu ialah Muneef Anaaqi Mohammad Mustaqim, seorang kanak-kanak Malaysia berusia lapan tahun yang tinggal di Helsinki bersama-sama dengan  keluarganya. Bapanya Mohammad Mustaqim Malek, 35, ialah penuntut Program Doktor Falsafah Teologi & Pengajian Agama di Universiti Helsinki.


Muneef Anaaqi Mohammad Mustaqim memulangkan bekas kosong untuk dikitar semula melalui deposit yang boleh dikembalikan berhampiran rumahnya, Katajanokka.

Kanak-kanak ini menerima pendidikan awal di  Päiväkoti Virkkula pada 2023 dan kini sedang belajar di sekolah rendah Katajanokkan ala-asteen koulu.

Ibunya Nur Atiqah Ibrahim Istar, 35, berkongsi bahawa anaknya telah mempelajari tentang pengasingan sisa dan kitar semula sejak prasekolah, dan pembelajaran itu diteruskan di sekolah rendah sebagai sebahagian daripada mata pelajaran sains alam sekitar.

“Munif telah didedahkan kepada amalan kitar semula sejak tadika. Setiap kali kami membeli minuman dalam botol, dia akan bertegas untuk membuang botol tersebut ke dalam tong kitar semula yang disediakan, kerana itulah yang dipelajarinya sejak prasekolah,” katanya.

Nur Atiqah berkata sistem pemulangan deposit untuk pembungkus minuman di Finland turut mendorong anaknya mengembalikan bekas kosong bagi dikitar semula melalui deposit yang boleh dituntut balik berhampiran rumah mereka di Katajanokka.

Tambah wanita itu keluarganya mengumpul sekitar 10 botol minuman sebulan dan menerima kira-kira dua euro sebagai deposit, sekali gus menjadi contoh yang baik kepada anaknya serta memberikan pengalaman yang menyeronokkan sepanjang berada di negara tersebut.

Dia berharap nilai kesedaran alam sekitar yang dipelajari anaknya akan berkekalan apabila mereka kembali ke tanah air selewat-lewatnya pada 2028.

Pengalaman awal di bilik darjah ini menunjukkan penyelesaian iklim di Finland bukan sekadar bermula dengan dasar, tetapi melalui pembentukan tabiat harian sejak usia muda.

 

UNIVERSITI MENCIPTA IMPAK DUNIA SEBENAR

Lawatan penulis ke Universiti Aalto memberikan gambaran tentang bagaimana pelajar di peringkat lebih tinggi mengaplikasikan pendidikan kelestarian secara kreatif dalam projek dan tugasan mereka.

Editor antarabangsa universiti itu Sarah Hudson berkata para pelajar menterjemahkan idea mereka kepada realiti melalui pameran yang memaparkan hasil projek masing-masing.

Terdapat pelbagai projek yang menarik perhatian penulis, namun paling menonjol ialah kit ujian kehamilan yang dihasilkan tanpa penggunaan plastik serta Kashvu - unit kediaman minimalis eksperimen yang dibina daripada kayu.

Pada lawatan itu penulis turut bertemu dengan seorang siswazah tempatan yang menubuhkan syarikat pemula dikenali sebagai Reverlast, di mana mereka menukar bilah turbin angin terpakai kepada pelantar terapung.

Pendekatan berinovasi ini bukan sahaja memberi nafas baharu kepada sisa industri, malah menunjukkan bagaimana sistem pendidikan Finland memupuk penyelesaian iklim yang praktikal bagi menangani cabaran alam sekitar dunia sebenar.

Secara keseluruhan, kelestarian di Finland bukan sekadar dasar, tetapi satu cara hidup yang jelas terlihat melalui rutin harian seperti mengasingkan sisa, memulangkan botol untuk dikitar semula serta berusaha mengurangkan penggunaan plastik.

Dari bilik darjah prasekolah ke projek universiti, Finland membuktikan pendidikan mampu menjadikan kelestarian sebagai satu amalan, kemahiran dan cara berfikir, sekali gus mempersiap generasi akan datang untuk menghasilkan penyelesaian iklim dunia sebenar.

 

PERJALANAN MALAYSIA 

Malaysia juga sedang mengambil langkah untuk memperkenalkan kesedaran alam sekitar di peringkat awal melalui kurikulumnya.

Dalam kenyataan kepada Bernama, Kementerian Pendidikan berkata di peringkat nasional, kelestarian telah diinstitusikan melalui Pelan Pendidikan Nasional (RPM) 2026-2035, khususnya menerusi Teras Strategik 6: Memupuk Kelestarian dalam Ekosistem Pendidikan.

“Pelan ini mengintegrasikan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) merentasi kurikulum dan platform kokurikulum; memperkukuh kemahiran hijau yang selari dengan kerjaya lestari masa depan; memperkasa pendidik serta pemimpin sekolah sebagai pendukung kelestarian; dan menggalakkan pendekatan seluruh sekolah yang disokong oleh mekanisme pemantauan dan pengiktirafan berstruktur,” kata kementerian itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) Dr Anuar Ahmad berkata di bawah RPM 2026-2035, subjek Alam dan Manusia akan diperkenalkan di Tahap Satu dan Dua sekolah rendah bermula tahun depan (2027).

Tahap Satu merangkumi murid Tahun Satu dan Dua, manakala Tahap Dua melibatkan murid Tahun Tiga dan Empat.


Timbalan Pengarah MINDA UKM Dr Anuar Ahmad berkata subjek baharu 'Alam dan Kemanusiaan' akan diperkenalkan di sekolah rendah mulai tahun depan di bawah Pelan Pendidikan Kebangsaan 2026–2035.

“Pada usia enam hingga 10 tahun, anak-anak akan didedahkan kepada isu berkaitan alam sekitar dan kebersihan menerusi subjek ini. Walaupun belum ada subjek khusus berkaitan alam sekitar, sekurang-kurangnya mereka mendapat pendedahan awal,” katanya.

Beliau berkata sesi pembelajaran adalah berbentuk hands-on, iaitu pelajar didedahkan melalui gambar, video dan permainan yang membantu menerapkan kesedaran terhadap alam sekitar.

“Kita mengharapkan pada masa depan murid-murid kita ini berpeluang mengadakan aktiviti-aktiviti di luar kelas yang hands on, di mana mereka terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan alam sekitar,” katanya.

Anuar berkata di peringkat universiti pula, pendedahan kepada isu tersebut lazimnya ditawarkan melalui kursus elektif yang memberi ruang kepada pelajar mendalami topik berkaitan alam sekitar secara lebih khusus.

Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti kokurikulum dan persatuan pelajar yang memfokuskan pada agenda kelestarian seperti Ekorelawan UKM.

Mengenai sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih gas rumah hijau (GHG) seawal 2050, beliau berpandangan aspek ini masih belum diberi penekanan secara menyeluruh dalam sistem pendidikan.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan topik berkaitan pelepasan dan pengurusan GHG perlu diperincikan serta diterapkan secara lebih praktikal agar pelajar bukan sahaja memahami konsepnya, tetapi juga dapat melihat sendiri proses, kesan dan kepentingan pengawalan pencemaran tersebut.

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547279