EKONOMI

Jaminan Kredit, Kelonggaran Peraturan Sokong PMKS Berdepan Krisis Tenaga

21/04/2026 12:38 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Kerajaan Malaysia bertindak pantas melaksanakan langkah-langkah bantuan bersasar bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengekalkan operasi di tengah-tengah krisis tenaga global yang dicetuskan oleh konflik di Asia Barat.

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut mengakui tekanan yang semakin meningkat terhadap perniagaan kecil di negara ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kos perniagaan yang lebih tinggi dan aliran tunai yang terhad boleh mengehadkan akses kepada kredit memandangkan minat risiko dalam kalangan institusi kewangan dijangka merosot dengan ketara.

“Oleh itu, langkah-langkah seperti jaminan kredit daripada Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) akan menambah baik akses kepada kredit dalam kalangan PKS memandangkan mereka mungkin perlu menstruktur semula dan menjadualkan semula kewajiban kewangan sedia ada.

“Kelonggaran dalam e-invois serta pengecualian duti import bertujuan mengurangkan kos kawal selia. Semua ini seharusnya membantu meminimumkan kesan ke atas perniagaan terutamanya dari segi keuntungan,” katanya kepada Bernama.

SJPP yang dimiliki sepenuhnya Menteri Kewangan (Diperbadankan), mengurus dan mentadbir pelbagai skim jaminan kerajaan bagi merapatkan jurang pembiayaan yang dihadapi oleh PKS terutamanya syarikat yang kekurangan cagaran atau rekod prestasi yang mencukupi untuk mendapatkan pinjaman bank.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kemudahan jaminan sebanyak RM5 bilion di bawah SJPP dengan liputan pembiayaan ditingkatkan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini manakala tempoh jaminan dilanjutkan kepada sehingga 10 tahun daripada tujuh tahun.

Kemudahan berkenaan akan menyokong sektor-sektor yang terjejas termasuk pembinaan, pertanian dan agromakanan, logistik, pengangkutan serta pelancongan.

Anwar juga berkata kerajaan akan memberikan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-invois Fasa Empat sehingga 31 Dis, 2027 bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta termasuk kebenaran untuk mengeluarkan e-invois yang disatukan tanpa penalti sepanjang tempoh tersebut.

Kerajaan juga sedang mempertimbang secara tempoh sementara, pengecualian duti import dan cukai jualan untuk pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat gangguan berkaitan konflik sehingga 31 Dis, tahun ini.

Sementara itu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyatakan bahawa peruntukan jaminan SJPP dengan liputan sebanyak 80 peratus dan tempoh peralihan e-invois selama 12 bulan, menyediakan mudah tunai kritikal dan keringanan pentadbiran.

Presiden Kebangsaannya Datuk William Ng berkata persatuan itu juga menyokong kerjasama di antara SJPP dengan bank-bank bagi mempermudah cara penstrukturan semula dan penjadualan semula pinjaman secara bersasar untuk meringankan aliran tunai perniagaan.

“Pendekatan bersasar ini jauh lebih baik daripada moratorium pinjaman secara menyeluruh yang hanya memanjangkan tempoh pinjaman dan jumlah bayaran faedah bagi PKS termasuk mereka yang mungkin tidak terjejas secara kritikal oleh krisis tenaga,” katanya.

Beliau menambah Samenta telah mencadangkan agar kerajaan memperkukuh lagi daya tahan PKS dengan mengutamakan agenda peralihan tenaga dan ekonomi kitaran.

Selain daripada sokongan modal kerja, beliau berkata persatuan itu menggesa agar sebahagian daripada jaminan SJPP diperuntukkan secara khusus bagi membantu PKS beralih ke arah penggunaan tenaga boleh baharu.

“Ini termasuk pembiayaan dengan faedah rendah untuk pemasangan solar fotovoltaik (PV) dan jentera cekap tenaga bagi menurunkan kos perbelanjaan operasi secara kekal serta mengurangkan kebergantungan kepada harga bahan api global yang tidak menentu,” katanya.

Beliau menambah Samenta kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan bantuan disampaikan secara bersasar kepada PKS yang paling memerlukan, seiring dengan kerangka ekonomi MADANI.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547273