PASARAN

Ringgit Mengukuh Kepada 3.94 Berbanding Dolar AS Susulan Optimisme Rundingan AS-Iran

15/04/2026 09:38 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi hari ini, meningkat kepada paras 3.94 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh sentimen yang bertambah baik terhadap jangkaan kemajuan diplomatik susulan laporan kemungkinan rundingan pusingan kedua AS-Iran.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 3.9430/9510 berbanding dolar AS daripada 3.9500/9545 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bagaimanapun, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam unjuran terbaharunya, menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global menyederhana kepada 3.1 peratus dan 3.2 peratus masing-masing pada 2026 dan 2027 selepas berkembang 3.4 peratus pada 2025.

“Risiko utama jelas sekali adalah peperangan di Iran yang boleh meningkatkan tekanan inflasi, manakala peningkatan perbelanjaan pertahanan mungkin memberi rangsangan kepada KDNK, walaupun seketika tetapi ia boleh berisiko mengalihkan sumber daripada keperluan sosial.

“Walau apa pun keadaannya, Indeks Dolar AS merosot 0.25 peratus kepada 98.121 mata. Dalam ketidakpastian yang semakin memuncak, ringgit mungkin diniagakan dalam jajaran kecil hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.6520/6614 daripda 4.6567/6620, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4828/4880 daripada 2.4847/4877 ketika ditutup pada Selasa, bagaimanapun berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.3522/3631 daripada 5.3495/3556.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.1023/1091 daripada 3.1053/1091, menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 230.2/230.8 daripada 230.6/231.0 dan melonjak berbanding peso FIlipina kepada 6.58/6.60 daripada 6.59/6.61 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.3211/3546 daripada 12.3183/3397 ketika ditutup semalam.

-- BERNAMA

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545023