GAYA HIDUP

Komuniti Payung.Camp Semarakkan Raya Dalam Suasana Alam Semulajadi 

20/04/2026 06:48 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Nyalaan unggun api, deretan pelita serta aroma juadah tradisional mewarnai suasana perkhemahan penghujung Syawal “Payung.Camp Regional Campmeet 2026” yang berlangsung dari 17 April hingga semalam.

Program itu menghimpunkan peserta di tujuh lokasi, mewakili  Zon Tengah, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Pantai Timur, Zon Sabah, Zon Sarawak dan Zon Labuan, dengan jumlah keseluruhan 201 buah khemah melibatkan kehadiran 800 hingga 1,000 orang.

pic-2

Pengarah Operasinya Khairil Izwan Mahyudin berkata penganjuran acara bertemakan “One Community, One Brotherhood - Raya Bersama Komuniti Payung.camp Malaysia” itu bertujuan mengukuhkan hubungan dalam komuniti melalui interaksi secara bersemuka.

Menurutnya, komuniti Payung.Camp Community Malaysia yang ditubuhkan pada Disember 2022 kini menghimpunkan hampir 60,000 ahli menerusi platform Facebook rasmi.

pic-3

“Ini merupakan acara tahunan keempat dan terbesar yang menghimpunkan peserta untuk berkongsi pengalaman perkhemahan bersama-sama dengan keluarga, selain menikmati suasana sambutan hari raya dalam persekitaran alam semula jadi,” katanya kepada Bernama.

Katanya, sepanjang tiga hari perkhemahan, setiap zon menjalankan pelbagai aktiviti berteraskan sambutan hari raya, termasuk gotong-royong memasak hidangan tradisional, hiasan khemah bertemakan raya, pemasangan pelita serta pertunjukan bunga api ringan.

pic-4

Khairil Izwan yang berkhemah di Wooris Campsite, Janda Baik, Bentong, Pahang bersama-sama dengan ahli keluarganya, berkata program itu turut dimeriahkan dengan jamuan raya yang menggalakkan peserta mengenakan pakaian tradisional, selain agihan duit raya khas kepada kanak-kanak.

Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa depan sebagai platform mengeratkan hubungan dalam komuniti, selain memberi ruang kepada peserta berehat dan menikmati suasana santai selepas kesibukan harian.

pic-5

Sementara itu, Ketua Program Zon Tengah Aizuddin Azali yang berkhemah di Dusun Apak Kawww Campsite di Batang Kali, Selangor bersama-sama dengan ahli keluarganya, menyifatkan sambutan hari raya di tapak perkhemahan menghidupkan kembali nilai kebersamaan yang semakin jarang dirasai.

“Alhamdulillah, (acara ini) satu momen yang amat berbeza buat peserta. Ramai terkenang suasana dahulu apabila seluruh kampung bergotong-royong menyediakan juadah bersama-sama, sepakat dan meriah dengan kehadiran saudara-mara,” katanya.

pic-6

Beliau berkata walaupun aktiviti perkhemahan itu berdepan cabaran cuaca, semangat komuniti yang ditonjolkan peserta tetap utuh apabila masing-masing memainkan peranan secara spontan tanpa memerlukan arahan terperinci.

"Antara momen paling bermakna sepanjang program ialah sesi gotong-royong membina hiasan pentas ‘balai raya’ menggunakan buluh dari kawasan sekitar, sekali gus mewujudkan suasana kampung dalam persekitaran alam semula jadi.

pic-7

“Bahkan, ketika tugasan membuat kerusi pangkin, peserta tahu bagaimana hendak mereka bentuk dan menyiapkannya tanpa perlu arahan. Begitu juga ketika memasak rendang, ada yang terus menyalakan kayu api, menaikkan kuali dan menambah rempah ratus... semuanya bergerak secara spontan,” katanya yang berharap penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan sebagai wadah merapatkan ukhuwah serta memupuk semula nilai kebersamaan dalam komuniti, selain mencipta kenangan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547119