Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Isnin, didorong oleh ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, kata seorang peniaga.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata situasi di Asia Barat telah melonjakkan harga MSM selaras dengan harga minyak mentah yang lebih tinggi, memandangkan minyak sawit digunakan untuk biodiesel.
“Kami mendapati paras sokongan pada RM4,500 setan dan paras rintangan pada RM4,680 setan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM ditutup tinggi hari ini susulan lonjakan harga minyak memandangkan gencatan senjata Amerika Syarikat (AS)-Iran telah berakhir lebih awal daripada jangkaan.
Beliau berkata asas pasaran minyak sawit masih tidak stabil dan pemulihan berkemungkinan tidak dapat dikekalkan melainkan terdapat lantunan yang seterusnya untuk harga tenaga.
“Harga minyak melantun semula lebih tujuh peratus pada Isnin, susulan kejatuhan lebih sembilan peratus pada Jumaat. Turun naik harga ini berlaku selepas penutupan Selat Hormuz, yang tercetus apabila AS dan Iran saling menuduh antara satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata dengan menyerang kapal,” kata Anilkumar.
Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2026 naik RM69 kepada RM4,455 setan, Jun 2026 meningkat RM65 kepada RM4,487 setan dan Julai 2026 bertambah RM48 kepada RM4,498 setan.
Kontrak Ogos 2026 menokok RM41 kepada RM4,498 setan, September 2026 bertambah RM39 kepada RM4,488 setan dan Oktober 2026 melonjak RM40 kepada RM4,475 setan
Jumlah dagangan susut kepada 84,757 lot daripada 91,998 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 252,691 kontrak daripada 260,192 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Mei Selatan naik RM40 kepada RM4,500 setan.
-- BERNAMA