DUNIA

Pezeshkian Seru Kegiatan Saintifik Di Iran Terus Diperkasa

20/04/2026 06:21 PM

TEHRAN, 20 April (Bernama-IRNA) -- Presiden Masoud Pezeshkian menekankan peranan penting universiti dalam membantu menyelesaikan masalah negara dengan berkata institusi akademik perlu berada di barisan hadapan serta menggembleng keupayaan saintifik mereka untuk dimanfaatkan oleh masyarakat, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

“Saya percaya tiada masalah yang tidak mempunyai penyelesaian, malah bagi setiap masalah, bukan hanya ada satu penyelesaian, tetapi ratusan jalan yang boleh diambil untuk menanganinya,” kata Pezeshkian ketika melawat Kementerian Sains, Penyelidikan dan Teknologi pada Ahad.

Beliau berkata universiti perlu memainkan peranan utama dalam menyelesaikan masalah negara, ketika menerima taklimat mengenai kedudukan semasa pendidikan tinggi, prestasi universiti serta tahap kerosakan dan kerugian yang dialami semasa perang yang dikenakan ke atas negara itu.

Sambil menghargai usaha warga akademik dalam memacu kemajuan saintifik, presiden menekankan kepentingan kesinambungan pendidikan, pengurusan universiti dalam situasi kritikal, serta usaha mengekalkan kedinamikan kegiatan saintifik.

Beliau berkata universiti, sebagai pusat pelbagai bidang kepakaran termasuk ekonomi, pertanian, industri, pengurusan, kebudayaan dan sosiologi, perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ahli akademik untuk membantu menyelesaikan masalah melalui penglibatan aktif di lapangan, bukan sekadar di kampus.

“Hari ini negara kita berdepan pelbagai cabaran dan ketika musuh juga mempersoalkan keupayaan saintifik serta kemajuan kita, golongan elit dan ahli akademiklah yang mampu tampil dengan penyelesaian,” tegas Pezeshkian.

Merujuk kepada keperluan penglibatan lebih aktif golongan muda dalam bidang sosial dan ekonomi, beliau menggesa supaya semua potensi dimanfaatkan untuk menjadikan negara itu berdaya saing dalam inovasi, kreativiti dan penyelesaian masalah.

Dalam ucapannya itu, presiden turut menyentuh perkembangan serantau dan antarabangsa, khususnya perang AS-Israel terhadap Iran, dengan berkata beberapa kuasa cuba mengeksploitasi sumber negara-negara serantau dengan melibatkan mereka dalam pertikaian dan konflik.

Sambil menegaskan bahawa negara itu tidak berhasrat memperluas perang kerana ia bukan demi kepentingan mana-mana pihak, Pezeshkian menggesa negara-negara di rantau itu supaya bersatu menentang pendekatan agresif AS-Israel serta memperkukuh laluan kerjasama dan perpaduan.

-- BERNAMA-IRNA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547137