EKONOMI

Genting Malaysia, AGIBOT Meterai MoU Perkasa Robotik AI Dalam Sektor Hospitaliti Dan Hiburan

20/04/2026 05:05 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Genting Malaysia Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan AGIBOT Innovation (Shanghai) Technology Co Ltd bagi memperkasa penggunaan robotik kecerdasan buatan (AI) fizikal dalam sektor hospitaliti, hiburan dan rekreasi.

Ketua Pegawai Operasi Resorts World Genting Aaron Chia Khong Chid berkata kerjasama dengan AGIBOT membolehkan syarikat melangkah lebih jauh dalam bidang robotik berperwujudan, iaitu teknologi yang berupaya mempertingkat perkhidmatan serta pengalaman penceritaan dalam persekitaran resort bersepadu.

“Kami percaya inisiatif ini akan membuka peluang baharu untuk mentakrif semula cara tetamu berinteraksi dengan ruang kami, selain mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju progresif dalam industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU itu dimeterai pada 17 April lalu sempena Persidangan Rakan AGIBOT (APC2026) di Shanghai, China.

Genting Malaysia diwakili Aaron Chia Khong Chid pada majlis menandatangani perjanjian itu, yang disaksikan Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Malaysia Lim Kok Thay; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Datuk Indera Lim Keong Hui; serta Presiden Lee Thiam Kit.

AGIBOT pula diwakili Pengarah AGIBOT Malaysia Steven Ding, disaksikan Presiden Rakan dan Naib Presiden Bersama Daniel Jiang serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Deng Taihua.

Pada persidangan itu, AGIBOT turut mengumumkan pelancaran Persembahan Gala Robotik pertama di Malaysia yang dijadual membuat penampilan sulung di Resorts World Genting.

Persembahan berkenaan yang dijangka berlangsung pada awal 2027 akan menampilkan robot AI canggih dalam persembahan secara langsung, sekali gus menawarkan pengalaman hiburan imersif pertama seumpamanya di negara ini.

Sementara itu, Presiden AGIBOT bagi Rantau Asia Pasifik dan Asia Barat Abel Deng berkata gabungan kepakaran robotik humanoid AGIBOT dengan kecekapan operasi serta visi kreatif Genting Malaysia berupaya mentakrif semula penglibatan tetamu dan standard perkhidmatan merangkumi taman tema, hotel serta hiburan langsung.

“Persembahan Gala Robotik di Resorts World Genting ini hanyalah permulaan. Bersama-sama, kami membangunkan ekosistem berskala yang membolehkan robot humanoid memperkaya pengalaman manusia secara lebih bermakna dan menarik,” katanya.

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan menumpukan kepada pembangunan penyelesaian robotik dalam tiga bidang utama iaitu taman tema, rekreasi serta hospitaliti dan hiburan, termasuk pembangunan robot humanoid bagi interaksi tetamu, fungsi khidmat pelanggan serta integrasi robotik dalam persembahan langsung dan tarikan imersif.

Kerjasama itu turut merangkumi inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama, projek perintis serta pembangunan ekosistem aplikasi berskala.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547052