KULIM, 20 April (Bernama) -- Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki yang tular di media sosial susulan rakaman video memaparkan suspek ditarik dari motosikal sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis dalam kejadian di Jalan Tunku Putra di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata siasatan awal mendapati anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah telah menahan suspek di Jalan Sungai Ular kira-kira 11 pagi tadi.
“Semasa polis cuba menahan suspek, berlaku pergelutan apabila suspek bertindak melawan anggota dengan menendang motosikal milik anggota polis sebelum melarikan diri.
“Suspek menunggang motosikal secara melulu, melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan itu, anggota polis melancarkan usaha mengesan suspek sejauh kira-kira lima kilometer sebelum berjaya menahannya di lokasi kejadian yang tular.
“Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang suspek menemukan dua bungkusan plastik lut sinar disyaki mengandungi air rebusan daun ketum,” katanya.
Tengku Mohd Faisal berkata ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata suspek berusia 32 tahun yang mempunyai satu rekod jenayah lampau telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman esok.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan dengan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif berkaitan kejadian itu,” katanya.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 29 saat tular di media sosial memaparkan seorang lelaki ditarik dari motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak.
-- BERNAMA