AM

Kerajaan Diminta Campur Tangan Isu Catuan Feri Langkawi

20/04/2026 09:09 AM

LANGKAWI, 20 April (Bernama) -- Kerajaan diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu catuan perjalanan feri ke pulau peranginan ini, yang didakwa memberikan kesan kepada industri pelancongan serta kehidupan harian penduduk setempat.

Perkara itu disuarakan oleh beberapa wakil badan bukan kerajaan pada perhimpunan aman yang disertai ratusan peserta di hadapan Terminal Jeti Penumpang Kuah, di sini petang semalam.

Pengerusi Anak Muda MADANI Kedah Datuk Zuraidi Rahim berkata catuan feri daripada lima kepada tiga perjalanan sehari yang dilaksanakan pengusaha feri sejak 25 Mac lepas menyebabkan kedatangan pelancong ke Langkawi semakin merosot.

“Catuan feri ini memberikan kesan khususnya kepada penduduk Langkawi yang bergantung kepada industri pelancongan, terutamanya peniaga kecil. Jika keadaan ini berterusan untuk tempoh sebulan atau dua bulan lagi, ekonomi Langkawi akan terus merudum.

“Sebab itu, himpunan pada petang ini (semalam) yang diadakan mengikut prosedur ditetapkan pihak berkuasa bertujuan memberikan tekanan kepada pengusaha feri agar catuan ini dihentikan segera,” katanya kepada media, di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan telah bersetuju melaksanakan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar sebagai langkah mitigasi sementara yang berkuat kuasa hari ini bagi menampung sebahagian kecil peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel.

Sehubungan dengan itu, pengusaha feri seharusnya mengembalikan lapan perjalanan sehari ke Langkawi bagi menggalakkan kemasukan pelancong serta memudahkan orang ramai.

“Jika catuan feri masih dilakukan, selepas ini kami memohon kerajaan membuka ruang seluas-luasnya kepada pengusaha lain untuk menyediakan perkhidmatan feri ke Langkawi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Langkawi Zainudin Kadir mendakwa catuan perjalanan feri sejak hampir sebulan lepas menyaksikan penurunan jumlah kedatangan pelancong, khususnya domestik, ke Langkawi.

Beliau berkata perkhidmatan feri merupakan pengangkutan utama ke Langkawi dengan kira-kira 70 peratus pelancong menggunakan perkhidmatan itu untuk ke pulau peranginan berkenaan.

“Apabila catuan perjalanan feri dilaksanakan, ia merencatkan kemasukan pelancong ke Langkawi. Jika dilihat di kaunter ejen pelancongan di sini, banyak yang tidak beroperasi,” dakwanya.

Pengerusi Persatuan Pemandu Bas Daerah Langkawi Mohamad Syukri Saad pula mendakwa banyak tempahan pengangkutan bas pada bulan ini telah dibatalkan oleh pelancong berikutan catuan perjalanan feri.

“Apabila perjalanan feri berkurangan, pelancong sukar untuk masuk ke Langkawi, khususnya kumpulan besar yang ingin tiba pada waktu pagi kerana mahu lebih banyak masa melawat lokasi di Langkawi,” katanya.

Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Warga Emas Daerah Langkawi Ramli Ahmad, catuan perjalanan feri menyebabkan beliau sering tidak dapat membeli tiket untuk ke tanah besar kerana kehabisan.

“Jika sebelum ini saya bersama keluarga mudah mendapatkan tiket feri kerana perjalanan lebih kerap, tetapi sekarang sukar. Kadangkala, jika ada kecemasan, terpaksa menggunakan perkhidmatan RoRo,” katanya.

Sebelum ini, Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) Dr Baharin Baharom berkata catuan perjalanan feri daripada lima kepada tiga perjalanan sehari yang bermula 25 Mac lepas perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan itu dan mengelakkan ia dihentikan sepenuhnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546812