AM

Machap Jaya Muncul Destinasi Pelancongan Rekreasi, Budaya Baharu

19/04/2026 04:48 PM

ALOR GAJAH, 19 April (Bernama) -- Machap Jaya kini muncul sebagai destinasi pelancongan rekreasi dan kebudayaan baharu di Melaka menerusi keunikan tradisi masyarakat setempat, keindahan alam semula jadi dan produk makanan tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata pelbagai aktiviti dan produk pelancongan diusahakan penduduk setempat yang dilihat mampu menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar, sekali gus membantu merancakkan ekonomi masyarakat.

“Kami akan angkat satu persatu produk pelancongan di kawasan ini untuk dijadikan tarikan terbaharu termasuk di Hutan Percha yang mempunyai pelbagai produk makanan, perusahaan batik serta aktiviti rekreasi seperti mendaki bukit,” katanya ketika ditemui di Kuala Sungga di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Program Ngoca sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Datuk VP Shanmugam.

Ngwe yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata sebanyak 98 program dirangka sepanjang seminggu penganjuran program WRUR DUN Machap Jaya melibatkan seluruh masyarakat pelbagai kaum termasuk komuniti Orang Asli dari tujuh perkampungan di kawasan itu.

Beliau berkata antara tumpuan utama ialah penyelesaian isu kemudahan asas yang sering dibangkitkan penduduk seperti jalan rosak, lampu jalan dan sistem perparitan.

“Machap Jaya adalah kawasan luar bandar dan kami juga memberi fokus kepada keperluan asas termasuk penyediaan kemudahan komuniti seperti balai raya dan dewan bagi aktiviti penduduk.

“Kami akan sedaya upaya memberikan yang terbaik dalam menangani aduan serta permasalahan penduduk supaya dapat membantu rakyat menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ngwe berkata tradisi “ngoca”, iaitu aktiviti menangkap ikan secara beramai-ramai menggunakan tangan yang diadakan di Kampung Kuala Sungga terus menjadi acara tahunan dan kini memasuki penganjuran kali ketiga.

Beliau berkata aktiviti itu bukan sahaja memelihara warisan budaya masyarakat setempat, malah mampu mengeratkan hubungan sesama penduduk tanpa mengira bangsa dan peringkat umur.

Lebih 500 peserta hadir memeriahkan acara berkenaan termasuk penganjuran sukan tradisional yang turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546653