AM

Ahmad Zahid Ucap Tahniah Kepada Johan Qari, Qariah Tilawah Dan Hafazan Kebangsaan

19/04/2026 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan tahniah kepada johan qari dan qariah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berharap kejayaan pada majlis yang melabuhkan tirainya di Terengganu malam tadi itu, menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mendekati, memahami serta menghayati al-Quran dalam kehidupan seharian.

"Bersama-sama kita mendoakan agar kedua-dua mereka dikurniakan kejayaan dalam menggalas amanah membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa. Insya-Allah," katanya.

Johan qari diraih oleh Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali dari Perak manakala johan qariah dimenangi Nur Syakura Mohamad Musa dari Sarawak.

Cik Hasnul Taqiyuddin, 25, merupakan penuntut tahun tiga jurusan Al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) manakala Nur Syakura, 31, adalah penyelia Guru Al-Quran di Majlis Islam Sarawak.

  -- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546642