AM

300 Bakul Makanan Diagihkan Kepada Golongan B40 Sempena Sambutan Chithirai Puthandu

19/04/2026 12:27 PM

SUBANG, 19 April (Bernama) -- Sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada keluarga golongan B40 sempena sambutan Tahun Baharu Tamil, Chithirai Puthandu, bagi meringankan beban mereka meraikan perayaan itu.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif tersebut turut melibatkan penyaluran bantuan tunai dan barangan keperluan harian bagi memastikan golongan sasar dapat menyambut tahun baharu dengan kegembiraan.

"Kita menyambut Tahun Baharu Tamil ini dengan penuh kesyukuran kerana negara masih aman. Walaupun terdapat cabaran berkaitan krisis ekonomi, kita tetap bersyukur dapat meraikan sambutan ini bersama-sama mereka yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Chithirai Puthandu Madani 2026 di Kuil Dewi Sri Maha Mariamman, di sini, hari ini.

Ramanan, yang juga Menteri Sumber Manusia berkata pihaknya komited untuk terus memperbanyakkan program bantuan sosial di sekitar kawasan Parlimen Sungai Buloh selain memberi perhatian daripada pengurusan kuil di kawasan tersebut.

Mengenai Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), beliau berkata penyaluran dana bantuan kepada kuil yang telah diluluskan akan dilaksanakan bermula minggu depan.

"Bagi fasa pertama, kita akan menyalurkan bantuan kepada 300 buah kuil, manakala fasa kedua melibatkan lebih 300 lagi kuil. Secara keseluruhannya, lebih 600 buah kuil akan menerima manfaat ini," katanya.

Dalam pada itu, Ramanan berkata MITRA telah merangka pelbagai perancangan baharu yang akan diumumkan secara berperingkat dalam masa terdekat.

Tumpuan utama MITRA tahun ini adalah untuk memperkasa agenda pendidikan dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada masyarakat India melalui peruntukan Belanjawan 2026, katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546582