POLITIK

Penyertaan KIMMA Jadi Parti Komponen BN Perlu Persetujuan Sebulat Suara - Ahmad Zahid

18/04/2026 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Penyertaan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu mendapat persetujuan sebulat suara daripada parti teras sedia ada dan dinyatakan secara rasmi dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi gabungan itu.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata walaupun beliau secara peribadi menyokong hasrat itu dan bersedia membawa permohonan KIMMA untuk penelitian lanjut, ia tetap tertakluk kepada Perlembagaan BN yang menuntut sokongan 100 peratus daripada parti komponen.

“Perlembagaan BN itu sendiri yang menetapkan bahawa mana-mana permohonan untuk menyertai BN sebagai parti teras mesti mendapat persetujuan sebulat suara atau 100 peratus daripada parti-parti teras yang ada. Itu belum dapat dipinda.

“… tetapi jika benarlah kenyataan itu mengatakan mereka tidak menghalang, saya ingin mereka buktikan di dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan datang, buat kenyataan secara rasmi dan bertulis untuk menerima dan meminda Perlembagaan BN,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan KIMMA ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Presiden KIMMA Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, pemimpin-pemimpin kanan parti komponen, Friends of BN serta 938 perwakilan daripada 95 bahagian dari seluruh negara.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam pada itu berkata setiap organisasi politik digerakkan oleh cita-cita yang didorong oleh kesetiaan, seperti ditunjukkan KIMMA yang tidak pernah diragui kesetiaannya sebagai parti gabungan kepada UMNO dan BN sepanjang 50 penubuhannya.

“Saya tidak mahu dalam kenyataan media lain… ucapan lain, dalam mesyuarat cakap lain. Kita mesti mempunyai kesetiaan... di belakang sama, di depan sama, siang sama dan malam pun sama.

“Presiden KIMMA, percayalah kepada saya. Saya akan melaksanakannya, dengan syarat mereka perlu mengesahkannya dalam Dewan Tertinggi BN bahawa resolusi itu, jika ada resolusi ia perlu dinyatakan semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan saya mahu mereka mencadangkan supaya KIMMA diterima sebagai ahli penuh BN,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan agar rakan gabungan tidak mengamalkan sikap “politik peluang” atau mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan, terutama apabila keadaan politik negara semakin stabil.

Beliau merujuk kepada sejarah beberapa organisasi politik yang pernah mengkhianati persepakatan demi kepentingan kelompok kecil sehingga mengetepikan agenda penyatuan ummah dan kepentingan nasional.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaan BN untuk melakukan “perdamaian” dengan menerima semula ahli-ahli yang pernah dipecat atau digantung keanggotaan, selaras dengan konsep Rumah Bangsa UMNO yang dibina untuk menyatukan semula kekuatan parti.

Beliau turut menggesa KIMMA dan parti komponen lain memberi lebih banyak ruang kepada generasi muda untuk mengambil alih kepimpinan demi kelangsungan perjuangan.

Pada sidang media kemudiannya, Ahmad Zahid berkata sebarang pindaan peraturan iaitu jika dicapai secara konsensus akan membuka ruang kepada parti Friends of BN untuk menjadi komponen utama.

Beliau turut menegaskan lapan resolusi yang dikemukakan oleh KIMMA pada perhimpunan itu akan diberikan pertimbangan sewajarnya.

KIMMA yang mempunyai 118,000 ahli di seluruh negara merupakan parti bersekutu UMNO dan Friends of BN.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546333