AM

Lebih 40,000 Pemilih Baharu Didaftar Dalam Daftar Pemilih Tambahan Mac 2026 - SPR

20/04/2026 03:59 PM

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Sebanyak 40,958 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac lepas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu di bawah Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mac Tahun 2026 (DPT BLN3/2026).

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata DPT BLN3/2026 yang diperaku pada 17 April dan diwartakan semalam itu turut mengandungi 11,134 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya serta 965 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

“DPT BLN3/2026 ini dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai 20 April hingga 19 Mei 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata SPR menyeru warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Mac 2026 serta mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi atau status supaya menyemak nama mereka dalam DPT BLN3/2026.

Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian 03-8892 7218.

Khairul Shahril berkata sekiranya pemilih tidak disenaraikan dalam DPT BLN3/2026, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian SPR atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.

Beliau berkata pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian SPR atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal pejabat pilihan raya negeri di http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada pengarah pilihan raya negeri berkenaan untuk serahan serta pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan DPT BLN3/2026.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2547027