AM

HRD Corp Selesai Laksana Penstrukturan Semula Menyeluruh, Perkukuh Tadbir Urus

17/04/2026 10:32 PM

KUALA LUMPUR, April 17 (Bernama) -- Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melengkapkan penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh, menandakan peralihan ke arah pengukuhan pelaksanaan dan penyampaian selaras dengan agenda MADANI dalam membangunkan tenaga kerja Malaysia yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.

HRD Corp dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif yang dilaksanakan sepanjang dua bulan lepas merangkumi penyusunan semula tadbir urus, pengurusan dan operasi, sekali gus memperkukuh integriti institusi serta mewujudkan struktur yang lebih jelas dan berakauntabiliti.

Menurut kenyataan itu, isu-isu legasi daripada dapatan audit dan penemuan kawal selia sebelum ini di peringkat pengurusan telah sebahagian besarnya diselesaikan, dengan penyerahan kini dibuat kepada pihak berkuasa.

“Penstrukturan termasuk penempatan semula dan penyelarasan berdasarkan kompetensi dan fungsi pekerja. Bidang kritikal seperti Perundangan, Audit dan Penguatkuasaan telah diperhebat bagi memantapkan lagi tadbir urus dan pematuhan, manakala struktur operasi telah diperkemas untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada 'reset’ ini, HRD Corp telah memperketat kawalan terhadap tuntutan latihan dan penggunaan levi bagi memulihkan pemantauan dan akauntabiliti. Sebelum ini, tuntutan boleh dikemukakan selepas latihan dilaksanakan, termasuk pada hari yang sama, sekali gus mengehadkan pemantauan yang berkesan.

“Di bawah prosedur operasi standard yang baharu, latihan hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan awal diperoleh, dengan tempoh masa dan jangka pelaksanaan yang ditetapkan. Ini membolehkan HRD Corp menggerakkan pasukan penguatkuasaan di lapangan bagi memastikan keterlihatan yang penuh serta melakukan pengesahan aktiviti latihan,” menurut kenyataan itu.

HRD Corp juga telah mengisi kekosongan kepimpinan utama dengan pelantikan Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Operasi, jawatan yang sebelum ini kosong, di samping mengetengahkan bakat dalaman ke jawatan kanan dan pengurusan bagi memperhebat kesinambungan dan prestasi organisasi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata organisasi kini berada dalam jajaran yang jelas bagi menyokong hala tuju yang ditetapkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara.

Beliau berkata kepimpinan Ramanan telah memainkan peranan penting dalam membentuk momentum dan disiplin pelaksanaan ‘reset’ ini, sekali gus mencerminkan pendekatan yang tersusun dan berstruktur dalam menangani cabaran institusi yang kompleks.

“’Reset’ telah selesai. Kita kini bergerak ke hadapan dengan disiplin, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan,” katanya.

Shamir berkata HRD Corp telah melengkapkan perancangan bajet yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah termasuk peruntukan strategik yang signifikan bagi mempercepat keutamaan pembangunan tenaga kerja negara.

“Kini, keutamaan kita adalah pelaksanaan untuk memberikan hasil, memulihkan keyakinan serta memastikan pekerja dan perniagaan Malaysia bersedia untuk menghadapi dan bertindak balas terhadap ketidaktentuan global yang semakin meningkat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2546172