KLANG, 17 April (Bernama) -- Seorang penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, awal bulan ini.
Mohd Syahril Nazrul Ruslim, 37, didakwa membunuh bayi berkenaan di sebuah pangsapuri di Taman Bayu Perdana, di sini pada 3.30 petang, 6 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Khartiyayini kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Julai depan untuk sebutan semula kes dan penyerahan laporan forensik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli manakala Mohd Syahril Nazrul tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA