AM

Tiga Lokasi Di Kinta Bakal Jadi Kawasan Pertanian Baharu Buat 200 Petani Di Kanthan

24/04/2026 10:31 PM

IPOH, 24 April (Bernama) -- Tiga lokasi di daerah Kinta berkeluasan lebih 180.9 hektar bakal menjadi kawasan pertanian baharu untuk kira-kira 200 petani yang sebelum ini mengusahakan aktiviti sama di lokasi projek Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) di Kanthan, Chemor dekat sini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata ketika ini, proses perbincangan dilaksanakan bersama dengan pemilik kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, kita sedang kenal pasti petani yang benar-benar masih berminat untuk meneruskan kegiatan pertanian, dan mereka akan ditempatkan di lokasi yang telah kita kenal pasti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, projek SVTP yang dibangunkan atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak ialah projek berskala besar namun menghadapi pelbagai cabaran apabila berdepan konflik dengan kumpulan petani yang didakwa menduduki kawasan itu secara tidak sah lebih 20 tahun.

Muhammad Kamil berkata pemilihan ketiga-tiga lokasi dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk kemudahan asas seperti sumber air.

“Selain itu, kita juga menilai kesesuaian tanah, akses infrastruktur serta keupayaan kawasan berkenaan untuk menyokong aktiviti pertanian yang dijalankan para petani berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap usaha itu menjadi pemudah cara sekali gus memastikan para petani yang terjejas dapat menjana pendapatan seperti sebelum ini.

“Isu ini bukanlah isu baharu sebaliknya merupakan isu legasi yang telah lama berlarutan.

“Justeru, kita komited untuk mencari penyelesaian menyeluruh agar petani dapat meneruskan aktiviti ekonomi mereka seperti biasa,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2549070