ALOR GAJAH, 15 April (Bernama) -- Pengusaha sektor pertanian, khususnya usahawan produk hiliran disaran agar mengaplikasikan teknologi moden secara optimum bagi meningkatkan produktiviti, kualiti dan kebolehpasaran hasil.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja memodenkan operasi pertanian, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan produk hiliran yang lebih berdaya saing.
Beliau berkata teknologi itu membolehkan proses pengeluaran dilaksanakan secara automatik tanpa pemantauan berterusan, sekali gus meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos tenaga kerja dan menambah hasil pengeluaran.
“Dalam sektor pertanian, kami dapati terdapat teknologi baharu yang diperkenalkan di kawasan Gadek yang mampu diketengahkan dan dimodenkan untuk memperluas kebolehpasaran produk.
“Sebagai contoh, penggunaan IoT dalam penternakan ikan tilapia yang digabungkan dengan AI membolehkan kawalan makanan, paras air dan tahap pH dilakukan secara automatik tanpa perlu pengawasan rapi,” katanya selepas mengadakan Ziarah Ikon Usahawan Gadek: Agrofarm Sahabat Gadek Enterprise sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri Gadek di sini hari ini.
Beliau berkata penghasilan produk asas yang berkualiti melalui teknologi moden perlu disusuli dengan pembangunan produk hiliran bagi meningkatkan nilai tambah dan daya saing di pasaran.
“Kami lihat teknologi ini jika diketengahkan, ia mampu menjadi produk yang boleh dipasarkan dengan lebih baik, termasuk dalam sektor hiliran seperti pemprosesan, pembungkusan dan penjenamaan,” katanya.
Beliau berkata bagi tujuan itu kerajaan negeri akan terus menyokong usahawan melalui program bimbingan dan mentor-menti bagi memastikan mereka mampu mengadaptasi teknologi serta mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
“Insya-Allah, kami akan mengasuh, mendidik dan membantu usahawan ini sebaik mungkin supaya teknologi yang diperkenalkan dapat menjadi panduan kepada generasi muda untuk menceburi bidang pertanian moden.
“Usaha itu bukan sahaja mampu menarik minat golongan muda, malah memperkukuh ekosistem agromakanan negara secara menyeluruh,” katanya.
-- BERNAMA