AM

Negeri Sembilan Perketat Langkah Penjimatan Kos Operasi

15/04/2026 06:50 PM

SEREMBAN,15 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan beberapa langkah penjimatan perbelanjaan merentasi semua jabatan susulan krisis tenaga global dan tekanan ekonomi semasa.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata langkah penjimatan itu termasuk pengurangan penggunaan kenderaan, pembatasan perjalanan kerja luar serta kawalan penggunaan tenaga di pejabat.

Beliau berkata semua jabatan turut diarahkan mengamalkan perbelanjaan berhemah selain menyemak semula program yang dirancang bagi mengurangkan kos pelaksanaan.

“Mesyuarat fizikal turut dihadkan di Seremban sahaja, manakala jabatan di daerah lain digalakkan menggunakan kaedah dalam talian bagi menjimatkan kos perjalanan dan penggunaan petrol. Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) juga dilihat dapat membantu penjimatan kos.

“Perjalanan ke luar negara juga dihadkan kepada yang benar-benar memberi impak kepada negeri kerana kita masih perlu menarik pelabur, jadi kita tidak boleh menghentikan semua aktiviti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri kekal dengan dasar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada setiap projek perumahan yang diluluskan perlu merangkumi rumah mampu milik.

Beliau berkata daripada jumlah itu. 20 peratus diperuntukkan bagi Rumah Mampu Milik (RMM) Type A dengan harga RM110,000, manakala 15 peratus bagi Type B pada harga RM250,000, dan selebihnya Type C dengan harga tidak melebihi RM450,000.

“Sehingga kini, hampir 11,000 unit rumah Type A diluluskan, namun kira-kira 3,000 unit sahaja siap dibina dan akan diserahkan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata penetapan harga rumah adalah bergantung kepada kos semasa bahan binaan dan infrastruktur, namun kerajaan negeri tetap memastikan harga RMM kekal lebih rendah berbanding negeri lain.

--BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2545327