PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Kementerian Kewangan (MOF) untuk meneliti segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme seperti yang telah dilaksana bagi BUDI95.
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata MOF turut diminta untuk membentangkan perincian mengenai proses berkenaan sama ada pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) Selasa depan atau mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti mekanisme terbaik untuk mengubah cara pengagihan subsidi BUDI Diesel Individu yang ketika ini dalam bentuk pindahan tunai kepada mekanisme sama yang digunakan bagi BUDI95.
“Dan kita jangka bila tiba masanya nanti, ini akan dapat membantu terutama bagi rakyat Malaysia, contohnya yang memandu kenderaan seperti trak pikap. Jadi caranya lebih mudah, lebih efisien dan berkesan kalau kita lihat pada cara pelaksanaan BUDI95,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.
Fahmi berkata kerajaan mengambil pendirian tegas dalam menangani isu ketirisan, penyeludupan dan penyelewengan diesel dengan melaksanakan beberapa langkah penguatkuasaan segera di seluruh negara.
“Ini termasuk menempatkan pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia di lebih daripada 150 stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi yang berada di kawasan sempadan untuk memastikan aktiviti ataupun tindakan yang dipercayai bersifat penyeludupan atau penyelewengan dapat dikekang,” katanya.
Beliau berkata MTEN yang bermesyuarat semalam turut membangkitkan isu mengenai sebuah stesen minyak yang mencatatkan penjualan bahan api jauh lebih tinggi berbanding stesen lain di seluruh negara, walaupun jumlah populasi di kawasan sekitarnya rendah.
Selain itu, katanya, kerajaan juga sedang meneliti mekanisme berbeza bagi penyasaran subsidi diesel untuk sektor perikanan dengan perbincangan lanjut bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan diadakan kelak.
“Bagi sektor nelayan sebagai contoh, di pihak MTEN ada dibincangkan dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang meneliti mekanisme yang sedikit berbeza yang mungkin boleh dilaksana tapi tertakluk kepada siri perbincangan yang perlu diadakan termasuk dengan LKIM.
“Dan ini akan dilaporkan dan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat MTEN pada minggu depan sekiranya segala maklumat telah berjaya diperoleh,” kata Fahmi.
-- BERNAMA