IPOH, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak sedang meneliti pelaksanaan penjajaran belanjawan bagi menghadapi impak krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata buat masa ini kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan belanjawan tambahan bagi menampan impak krisis tersebut.
“Daripada pengalaman kita (semasa) COVID-19 kita tidak buat belanjawan tambahan, kita hanya buat penjajaran semula.
“Dengan bajet sedia ada, kita buat penjajaran semula di mana ada projek yang pada pendapat kita tidak boleh diteruskan kerana peningkatan kos binaan, barangkali kita jajarkan sahaja dalam bentuk bantuan untuk keperluan lain,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada Persidangan DUN Perak di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) yang ingin tahu sama ada Kerajaan Negeri Perak bersedia membentangkan belanjawan tambahan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat krisis tenaga global.
Saarani berkata setakat ini selain bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut akan meneliti kaedah bantuan kepada rakyat termasuk jualan murah produk makanan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC).
“Kita faham mereka akan terkesan sebab harga diesel mahal (naik). Lori yang bawa barang itu barangkali terjejas. Kalau kerajaan negeri bersetuju, kita ada wang, kita boleh beri subsidi kepada lori-lori berkenaan untuk membolehkan mereka terus bergerak ke pelbagai lokasi.
“Ia sekali gus membolehkan mereka akan kekal menjual harga barang pada paras yang sama walaupun harga diesel meningkat,” katanya.
-- BERNAMA