Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi ketika mengakhiri dagangan pada Selasa, seiring dengan kenaikan yang dicatatkan pasaran serantau, apabila sentimen bertambah baik susulan optimisme terhadap potensi rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.60 mata atau 0.45 peratus kepada 1,688.12 daripada 1,680.52 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 10.44 mata lebih tinggi kepada 1,690.96 sebelum bergerak antara 1,686.06 hingga 1,694.16 sepanjang dagangan hari ini.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 663 berbanding 455, manakala 537 kaunter tidak berubah, 1,061 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 2.85 bilion unit bernilai RM2.67 bilion daripada 2.94 bilion unit bernilai RM2.64 bilion pada Isnin.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran bertambah positif selepas Presiden AS Donald Trump memberi isyarat kesediaan untuk menyambung semula rundingan dengan Iran.
Beliau berkata isyarat Trump itu telah merangsang minat pelabur terhadap aset berisiko dan meredakan kebimbangan mengenai gangguan bekalan minyak mentah di Asia Barat.
Sentimen terhadap risiko juga bertambah baik apabila Trump menyatakan Iran telah menghubungi pihaknya bagi mendapatkan rundingan baharu, sekali gus mengukuhkan jangkaan terhadap kemungkinan laluan diplomatik walaupun ketegangan masih berlaku baru-baru ini, katanya.
“Keadaan yang semakin baik mula mengubah sentimen pelabur seperti yang ditunjukkan menerusi peralihan sederhana daripada pegangan dolar AS di samping minat baharu terhadap aset berisiko, walaupun dalam persekitaran pasaran yang masih hambar,” katanya kepada Bernama.
Bagi peringkat domestik, Mohd Sedek berkata sentimen pelabur asing terus positif, dengan Malaysia merekodkan aliran masuk asing bersih bagi lima hari berturut-turut setakat semalam.
“Kemasukan semula dana asing yang berterusan ini menunjukkan peningkatan semula keyakinan terhadap ekuiti domestik walaupun secara beransur-ansur dan masih berhati-hati ekoran ketidaktentuan geopolitik yang berlarutan,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menokok enam sen kepada RM11.04, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing naik empat sen kepada RM4.64 dan RM8.75. Tenaga Nasional menambah 14 sen kepada RM14.32 manakala CIMB meningkat 16 sen kepada RM7.55.
Bagi saham paling aktif, Velesto Energy turun dua sen kepada 32.5 sen, MMAG tidak berubah pada empat sen, Zetrix AI naik satu sen kepada 77 sen, Bumi Armada kurang setengah sen kepada 39.5 sen, dan V.S. Industry menokok setengah sen kepada 18.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak 74 sen kepada RM30.64, Fraser & Neave meningkat 62 sen kepada RM29.80, Ajinomoto naik 42 sen kepada RM12.56, Pentamaster menambah 37 sen kepada RM3.47 dan Kelington menokok 28 sen kepada RM5.31.
Antara kaunter paling rugi, Petronas Dagangan merosot 76 sen kepada RM20.54, Kuala Lumpur Kepong susut 38 sen kepada RM21.46, Dutch Lady Milk kurang 20 sen kepada RM31.80, Quality Concrete turun 19 sen kepada RM1.08, dan Petronas Gas menguncup 18 sen kepada RM18.26.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 72.82 mata kepada 12,251.89, Indeks FBM Emas naik 72.98 mata kepada 12,406.25, Indeks FBM Mid 70 melonjak 179.41 mata kepada 17,376.26, Indeks FBM Emas Syariah menokok 45.53 mata kepada 12,312.59 dan Indeks FBM ACE meningkat 56.80 mata kepada 4,467.71.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 173.98 mata kepada 19,672.87, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.47 mata kepada 187.65 manakala Indeks Perladangan susut 28.11 mata kepada 8,940.78 dan Indeks Tenaga turun 8.17 mata kepada 823.53.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.57 bilion unit bernilai RM2.38 bilion daripada 1.54 bilion unit bernilai RM2.40 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran turun kepada 854.73 juta unit bernilai RM117.69 juta daripada 980.67 juta unit bernilai RM131.27 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menokok kepada 431.21 juta unit bernilai RM167.65 juta daripada 417.61 juta unit bernilai RM111.03 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 162.58 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (286.66 juta), pembinaan (159.94 juta), teknologi (199.37 juta), perkhidmatan kewangan (72.34 juta), hartanah (139.29 juta), perladangan (35.57 juta), amanah pelaburan hartanah (10.54 juta), dana tertutup (tiada), tenaga (274.56 juta), penjagaan kesihatan (125.52 juta), telekomunikasi dan media (31.33 juta), pengangkutan dan logistik (20.09 juta), utiliti (48.34 juta) serta amanah perniagaan (66,300).
-- BERNAMA