KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun yang disyaki terlibat rasuah kira-kira RM1 juta bagi kontrak pembinaan gelanggang skuasy direman selama lima hari sehingga Sabtu ini.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Sumber itu berkata bayaran berkenaan dipercayai sebagai balasan membantu meluluskan tuntutan kontraktor berkaitan pembinaan gelanggang skuasy bernilai RM7 juta di ibu negara.
Lelaki terbabit dilaporkan ditahan kira-kira 7.20 malam di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil di sini, semalam.
Tangkapan dibuat sejurus suspek dipercayai menerima wang tunai RM100,000 daripada seorang kontraktor binaan.
Suspek juga dipercayai menerima wang sebanyak RM500,000 sebelum sambutan Aidilfitri lepas sebagai bayaran pendahuluan.
-- BERNAMA