AM

Pembinaan Baharu ICQs Bukit Berapit Kini Di Peringkat Kajian Kebolehlaksanaan - Saifuddin

12/04/2026 03:48 PM

PENGKALAN HULU, 12 April (Bernama) -- Pembinaan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di sini kini berada di peringkat kajian kebolehlaksanaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution berkata sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan kajian berkenaan.

Beliau berkata pembinaan baharu itu dijangka memberi keselesaan kepada pelancong dan pengguna, selain mempertingkatkan kawalan keselamatan.

“ICQS (Bukit Berapit) Pengkalan Hulu ini unik kerana lokasi di antara pusat pemeriksaan sebelah Thailand dengan sebelah kita (Malaysia) itu jaraknya agak jauh. Walaupun tidak sampai satu kilometer, saya boleh tengok tadi orang yang buat pemeriksaan di tempat kita, kemudian heret beg sampai ke sana (pusat pemeriksaan) dan adalah (terdapat) isu-isu keselamatan yang lain.

“Dalam siri perbincangan dengan kerajaan negeri Perak, mereka telah mencadangkan beberapa lokasi untuk kami usahakan dan keperluan untuk kami bina baharu, jika cepat kajian (kebolehlaksanaan) dijalankan, maka cepat (dilaksanakan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemantauan operasi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di ICQS Bukit Berapit di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain.

Tahun lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam proses menyelesaikan isu berkaitan tanah bagi pembinaan ICQS baharu Bukit Berapit.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata kerajaan mempunyai perancangan pengambilalihan pengoperasian ICQS Bukit Berapit di bawah seliaan AKPS bagi memperkemas sistem kawalan keselamatan.

“Dia (AKPS) nanti akan ambil alih sehingga 122 (pintu masuk) seluruh negara termasuk laut, darat dan udara. Pengkalan Hulu ini akan sampai masanya (diambil alih di bawah AKPS).

“Bila cukup dari segi sumber manusia, cukup dari segi infrastruktur dan sebagainya, maka Ketua Pengarah AKPS kemudiannya akan memuktamadkan bila AKPS akan mengambil alih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini keutamaan AKPS adalah kepada pintu masuk sempadan negara yang kritikal termasuk di Kedah dan Kelantan.

Buat masa ini AKPS telah mengambil alih kawalan di 22 daripada 122 pintu masuk sempadan negara.

-- BERNAMA 


 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2543984