DUNIA

CENTCOM Umum Sekatan Ke Atas Semua Pelabuhan Iran Mulai 13 April

13/04/2026 08:55 AM

HAMILTON, 13 April (Bernama-Anadolu) -- Markas Pusat Amerika Syarikat (AS) (CENTCOM) pada Ahad mengumumkan bahawa ia akan mula melaksanakan sekatan ke atas semua trafik perkapalan yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran pada 13 April, 10 pagi waktu Timur (1400GMT), lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Pasukan Markas Pusat AS (CENTCOM) akan mula melaksanakan sekatan ke atas semua trafik maritim yang masuk dan keluar dari pelabuhan Iran pada 13 April, 10 pagi waktu Timur, selaras dengan pengisytiharan Presiden.

“Sekatan itu akan dikuatkuasakan secara saksama terhadap kapal dari semua negara yang memasuki atau berlepas dari pelabuhan dan kawasan pantai Iran,” menurut kenyataan itu di platform X.

Langkah itu meliputi semua pelabuhan Iran di Teluk Arab dan Teluk Oman.

“Pasukan CENTCOM tidak akan menghalang kebebasan pelayaran bagi kapal yang transit melalui Selat Hormuz ke dan dari pelabuhan bukan Iran,” menurut kenyataan itu.

CENTCOM berkata pihaknya akan memaklumkan kepada kapal komersial lebih awal sebelum sekatan dilaksanakan, sambil menasihati semua kapal di Teluk Oman dan Selat Hormuz supaya memantau siaran maritim dan menghubungi pasukan tentera laut AS jika perlu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544145