AM

Malam Penghormatan Khas Rai Legasi Berkekalan Adibah Amin

13/04/2026 12:57 AM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Legasi berkekalan Tokoh Wartawan Negara Adibah Amin diraikan pada malam penghormatan khas yang diadakan di sini malam ini, sempena pelancaran buku beliau As I Was Passing (Legacy Edition).

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Dianjurkan oleh Friends of Adibah Amin, acara itu menghimpunkan pengamal media, penggiat sastera serta peminat karya Adibah sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan berterusannya dalam bidang kewartawanan dan kesusasteraan.

Adik Adibah, Khalilah Fadzilah Amin berkata wartawan veteran itu terlantar sakit sejak dua tahun lepas dan kini tidak mampu duduk untuk tempoh yang lama, walaupun di kerusi roda.

“Bagi pihak kakak saya, Adibah, saya ingin memohon maaf atas ketidakhadirannya malam ini. Beliau telah terlantar sakit selama dua tahun dan sejak beberapa hari kebelakangan ini, beliau sukar untuk duduk di kerusi roda walaupun untuk hanya beberapa minit,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para hadirin serta mengiktiraf usaha pihak penganjur.

Legacy Edition menampilkan koleksi terpilih daripada kolum terkenal Adibah, termasuk gambar-gambar yang belum pernah diterbitkan sebelum ini serta tandatangan peribadi beliau.

Acara itu berjaya mengumpul kira-kira RM100,000 yang akan disalurkan bagi menyokong kos rawatan perubatan Adibah.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai yang merupakan Tokoh Wartawan Negara 2025 menyifatkan Adibah sebagai legenda dalam dunia kewartawanan Malaysia.

“Adibah Amin seorang legenda. Saya membesar dengan membaca kolumnya dan amat menghormati beliau. Walaupun kami berdua Tokoh Wartawan Negara, saya merasakan diri saya belum cukup setanding beliau,” katanya ketika ditemui pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Beliau berkata sumbangan Adibah merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, penulisan, drama dan lakonan, serta menzahirkan keupayaannya menulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara 2011 Datuk A. Kadir Jasin berkata penerbitan karya Adibah merupakan langkah positif dalam memastikan tulisan Adibah terus dapat diakses oleh masyarakat.

“Adibah Amin antara penulis dan wartawan hebat pada zamannya. Tulisan beliau dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris wajar dibaca oleh generasi muda supaya mereka dapat mengambil manfaat daripadanya seperti yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu,” katanya.

Adibah, 90, dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2023, sekali gus menjadi wanita pertama menerima pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan negara.

Sepanjang kariernya, Adibah pernah berkhidmat sebagai editor di akhbar The Star dan New Straits Times, selain mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarang Berita di Berita Harian.

Beliau juga merupakan seorang penulis prolifik, selain penterjemah, kolumnis dan pendidik.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2544138