JENAYAH & MAHKAMAH

Skandal Penjualan Saham: Reman Bekas CEO, Pengerusi Syarikat Disambung

12/04/2026 03:15 PM

PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) -- Reman terhadap bekas ketua pegawai eksekutif sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi syarikat pegangan disambung lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah serta penyelewengan urus niaga saham.

Perintah reman hingga 16 April terhadap dua suspek itu dikeluarkan Majistret Ainul Izzati Mohd Jamili selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, sebaik tempoh reman asal tamat hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Kes itu turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan, khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya.

Dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan SPRM pada Khamis lepas kerana disyaki bersubahat dengan beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat berhubung penjualan saham kepada badan berkanun tersebut pada 2022 hingga 2023.

Siasatan awal mendapati urus niaga penjualan saham itu dipercayai melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah dan tidak setimpal hingga menyebabkan kerugian kepada dana awam dianggarkan melebihi RM300 juta.

Setakat ini, 13 lokasi merangkumi premis agensi dan syarikat berkepentingan awam, pejabat dan kediaman digeledah selain 62 akaun bank persendirian dan syarikat berjumlah kira-kira RM450 juta dibekukan dalam siasatan itu.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2543972