PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar modus operandi penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam.
Sumber berkata siasatan susulan terkini mendapati individu itu dipercayai menetapkan terma dan harga pembelian saham serta bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mempunyai kawalan penuh dalam keseluruhan proses tersebut.
“Siasatan awal turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama dan pemilik benefisial.
“Siasatan turut mendapati sebahagian dana dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia dianggarkan kira-kira RM30 juta bagi menyamarkan aliran kewangan sebagai pelaburan sah,” katanya.
Sumber berkata aliran dana turut dikesan melibatkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah lebih USD48 juta (RM225.6 juta) selain satu transaksi kira-kira USD3.3 juta (RM15.5 juta) di Labuan melibatkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam.
“Turut disiasat dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai milik bekas CEO itu, melibatkan kira-kira USD10,000 (RM47,000) dan AED37,000 (RM47,000). Keseluruhan aliran dana luar negara dianggarkan melebihi USD51.3 juta (RM241.1 juta) dan dipercayai melibatkan syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber memaklumkan tambahan enam akaun individu bernilai kira-kira RM11 juta telah dibekukan, menjadikan keseluruhan pembekuan berjumlah kira-kira RM16.8 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul ketika dihubungi mengesahkan siasatan masih berjalan.
Beliau berkata SPRM sedang memperluas skop siasatan termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara seperti Singapura, BVI, UAE serta Labuan bagi meneliti transaksi rentas sempadan dan mengesan aset berkaitan.
-- BERNAMA