Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 3 April (Bernama) -- Kos perjalanan serantau melonjak naik berikutan tindakan syarikat penerbangan menaikkan harga tiket bagi menampung lonjakan kos bahan api jet, ketika jutaan penduduk di kawasan Mekong sedang membuat persiapan untuk sambutan perayaan Tahun Baharu tidak lama lagi.
Rancangan perjalanan bagi penduduk di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand yang akan menyambut Tahun Baharu mereka bermula dari 13 hingga 14 April ini mungkin terjejas akibat perkembangan berkenaan.
Sekretariat Negara bagi Penerbangan Awam Kemboja (SSCA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa 18 daripada 36 syarikat penerbangan antarabangsa dan tempatan yang beroperasi ke dan dari negara itu telah menaikkan harga tiket.
Semakan harga itu dibuat susulan harga bahan api jet menyaksikan peningkatan mendadak sejak serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran yang memuncak sejak 28 Feb lepas.
“Kenaikan harga didorong terutamanya oleh kos bahan api dan surcaj syarikat penerbangan. Peningkatan harga tiket adalah dalam julat biasa iaitu sekitar 10 hingga 20 peratus. Tiada gangguan operasi ruang udara secara langsung, manakala lapangan terbang dan penerbangan kekal normal,” kata Setiausaha Negara merangkap jurucakap SSCA, Sinn Chanserey Vutha kepada Bernama.
Menurut laman sesawang Pemantau Harga Bahan Api Jet Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), purata harga bahan api jet global didagangkan pada US$195.19 (RM787.40) setong setakat 27 Mac.
Harga berkenaan hanya pada paras US$99.40 (RM400.98) setong pada ambang peperangan Asia Barat - satu lonjakan besar sebanyak 96 peratus - yang dijangka akan menjejaskan keuntungan syarikat penerbangan.
Krisis tenaga global seperti pergolakan di Asia Barat yang membawa kepada kekurangan bekalan boleh meningkatkan kos operasi syarikat penerbangan dengan mudah.
Pakar industri berpendapat perbelanjaan terbesar bagi pengendali syarikat penerbangan ialah kos bahan api yang merangkumi kira-kira 20 hingga 40 peratus daripada kos operasi mereka.
Syarikat penerbangan serantau kini giat menstruktur semula laluan operasi, membatalkan penerbangan yang tidak menguntungkan dan mengambil langkah penjimatan kos bagi mengatasi turun naik harga bahan api yang tidak dijangka.
Surcaj bagi syarikat penerbangan nasional Laos meningkat kepada kira-kira US$9.3 (RM37.52) hingga US$21 (RM84.71) bagi setiap tiket untuk laluan domestik, dan US$40 (RM161.36) hingga US$60 (RM242) bagi destinasi antarabangsa.
Di Hanoi, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam melaporkan lebih 60 peratus daripada 40 syarikat penerbangan antarabangsa mungkin menaikkan tambang mulai pertengahan Mac bagi menangani kenaikan kos bahan api jet.
Syarikat penerbangan nasional Vietnam Airlines pula mengumumkan penggantungan sementara beberapa penerbangan domestik bermula April berikutan kekurangan bahan api jet, yang dijangka menjejaskan 23 penerbangan mingguan, lapor media tempatan.
Portal berita Mizzima melaporkan Myanmar Airways International dan Myanmar National Airlines turut mengumumkan langkah-langkah tertentu bulan lepas, termasuk menaikkan harga tiket bagi sektor terpilih, menggantung laluan domestik dan mengurangkan elaun bagasi.
“Kenaikan kos tiket kapal terbang yang sebahagian besarnya didorong oleh situasi tenaga global akan memberi impak langsung kepada kesalinghubungan serantau, terutamanya bagi pasaran jarak dekat dan sensitif harga di Asia Tenggara.
“Semasa tempoh utama Tahun Baharu di rantau ini, pergerakan biasanya didorong oleh pelancongan dan kunjungan keluarga.
Bagaimanapun, tambang yang lebih tinggi berkemungkinan mengurangkan perjalanan spontan, mengalihkan permintaan kepada pengangkutan darat dan destinasi lebih dekat, memendekkan tempoh perjalanan atau mengurangkan kekerapan perjalanan, selain paling memberi kesan kepada pengembara berpendapatan rendah dan sederhana,” kata Pengerusi Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Cawangan Kemboja, Thourn Sinan kepada Bernama.
IATA sebelum ini memberi amaran bahawa keselamatan bahan api jet berada dalam ancaman memandangkan kemelut di Asia Barat telah mengganggu aliran tenaga global, terutamanya selepas kapal tangki minyak tidak dapat merentasi Selat Hormuz atas faktor keselamatan.
Jurucakap SSCA Vutha berkata Kemboja kekal berdaya tahan disokong oleh kesalinghubungan serantau yang kuat dan kestabilan operasi, manakala permintaan santai jarak jauh mungkin mengalami tekanan jangka pendek.
Beliau berkata : “Impak terhadap Kemboja adalah terkawal dan bersifat jangka pendek dengan pengurangan permintaan yang terhad, terutamanya bagi perjalanan jarak jauh. Kenaikan harga semasa akan memberi impak sederhana dan tidak sekata merentas sektor penerbangan dan pelancongan.”
-- BERNAMA