GEORGE TOWN, 1 April (Bernama) -- Prosiding pertuduhan terhadap dua lelaki warga Myanmar di Mahkamah Majistret di sini hari ini berkaitan kes pembunuhan rakan senegara di Gat Lebuh Macallum, di sini bulan lepas, ditangguhkan kepada 23 April ini.
Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin menetapkan tarikh itu untuk sebutan semula kes bagi melantik jurubahasa Myanmar untuk membaca pertuduhan ke atas Myat Thu Khaing, dan Sein Win Aung kerana kedua-duanya tidak memahami bahasa Melayu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Marissa Safina Saiful Adli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mayat seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an dipercayai mangsa bunuh, ditemukan di kawasan lapang belakang sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Macallum pada tengah malam, 9 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad dilaporkan berkata mangsa yang mengalami kecederaan di kepala ditemukan pada 12.05 tengah malam oleh anggota Balai Polis Jalan Patani, yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
Beliau berkata bedah siasat oleh Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) mengesahkan punca kematian akibat kecederaan daripada hentakan objek keras dan tumpul pada bahagian kepala.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA