SARIKEI, 3 April (Bernama) – Seramai 188 individu ditahan di kawasan sekitar Sarikei disyaki terlibat dengan pelbagai kesalahan membabitkan dadah dalam Op Tapis sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei Supt Aswandy Anis berkata 61 tangkapan dilakukan pada Januari, diikuti 69 pada Februari dan Mac (68), semasa operasi yang dijalankan di sekitar Sarikei, Tanjung Manis, Belawai, Paloh dan Kedang.
“Turut dirampas semasa operasi tersebut 36.14 gram syabu, 12.20 gram eramin 5 dan ketamine (0.6 gram) selain air ketum sebanyak 32,000 milimeter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada Selasa lepas, Aswandy berkata, tiga lelaki tempatan disyaki pengedar dadah berusia antara 28 dan 50 tahun turut ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Belawai selain turut merampas 15 plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine.
“Dadah tersebut dipercayai untuk dijual kepada penagih di kawasan sekitar dan kesemua suspek dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Nakotik Sarikei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada Januari lepas, tiga individu yang disyaki ‘tokan dadah’ juga telah ditangkap di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seskyen 3(1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Sementara itu, pada Februari dan Mac, enam penagih tegar telah disabitkan di bawah 39C(1) dan Seksyen 39C(2) ADB 1952 di mahkamah seksyen, di sini, dan dijatuhkan hukuman penjara lima hingga tujuh tahun serta dikenakan antara satu hingga tiga sebatan.
Aswandy meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah diminta tampil dan menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN 012-2087222 (Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman) dan 017-59292211 (JSJN Sarawak).
--BERNAMA