KOTA KINABALU, 2 April (Bernama) -- Seorang pakar psikiatri forensik hari ini memaklumkan Mahkamah Koroner di sini bahawa hasil autopsi psikologi terhadap kematian Zara Qairina Mahathir mendapati punca kematian pelajar Tingkatan Satu itu paling konsisten dengan tindakan bunuh diri.
Dr Chua Sze Hung, 43, yang bertugas di Hospital Mesra Bukit Padang di sini, berkata dapatan dan rumusan autopsi psikologi itu menunjukkan bahawa si mati telah mempamerkan sisi dominasi faktor risiko bunuh diri berbanding faktor perlindungan diri ketika kejadian.
Beliau berkata ketidakseimbangan itu telah meningkatkan tahap kerentanan terhadap kecenderungan tingkah laku membunuh diri.
“Pertembungan antara faktor pendorong dan faktor pencetus menunjukkan bahawa tindakan terakhir itu berkemungkinan usaha untuk mengakhiri penderitaan, berlaku dalam keadaan tekanan akut yang memuncak, disertai pertimbangan yang terjejas serta kemerosotan keupayaan untuk mengakses mekanisme perlindungan diri secara normal, dan bukannya suatu tindakan yang dirancang dengan teliti," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi ke-67 pada prosiding inkues itu berkata beliau telah menyediakan, menandatangani dan mengesahkan laporan psikiatri setebal 84 halaman untuk mahkamah bertarikh 2 Feb lepas berhubung penilaian serta dapatan beliau bagi kes tersebut.
Beliau berkata penilaian itu meneliti pelbagai dokumen termasuk diari Zara Qairina, helaian kertas dan laporan sekolah rendah si mati, laporan kaunseling sekolah menengah, lawatan ke asrama dan kelas serta laporan bedah siasat oleh Pakar Patologi Forensik Dr Jessie Hiu.
Dr Chua berkata maklumat daripada temu bual dengan keluarga si mati, kakitangan sekolah dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar turut digunakan sebagai sumber rujukan dalam menyediakan laporan itu.
“Terdapat maklumat yang menunjukkan ketidakteraturan emosi, kemarahan yang meluap-luap, tingkah-laku mencederakan diri sendiri, hubungan interpersonal yang tidak stabil serta ketakutan terhadap pengabaian… namun, maklumat ini tidak mencukupi untuk membuat diagnosis gangguan personaliti secara retrospektif.
“Walaupun terdapat maklumat yang menunjukkan simptom kemurungan, saya tidak percaya bahawa si mati mengalami penyakit mental yang teruk dan boleh didiagnosis sebelum kejadian yang didakwa berlaku,” katanya.
Dr Chua berkata bunuh diri adalah suatu tindakan sengaja mencederakan diri sendiri sehingga membawa kepada kematian, dan menambah bahawa ia satu fenomena kompleks dengan pelbagai faktor penyebab serta tidak semestinya berkaitan dengan penyakit mental kerana ramai individu yang membunuh diri sebelum ini tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan mental yang diketahui.
Dr Chua turut mendedahkan bahawa kajian yang meneliti data remaja sekolah di Malaysia menunjukkan bahawa golongan berumur 13 hingga 15 tahun berdepan risiko percubaan bunuh diri lebih tinggi berbanding kumpulan lain manakala pelajar yang ibu bapa mereka tinggal berasingan pula lebih cenderung untuk cuba membunuh diri.
“Bagi kes si mati, faktor pendorong risiko termasuk tetapi tidak terhad kepada peristiwa hidup yang penuh dengan tekanan, persepsi diri yang negatif, tanggapan dibuli, pencapaian akademik yang tidak memuaskan, perpisahan ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, simptom kemurungan, masalah tingkah laku serta keinginan untuk mati.
“Faktor pencetus pula termasuk peristiwa hidup yang penuh tekanan dan rasa terasing atau keadaan lain seperti tidur tidak mencukupi secara kronik serta kekecewaan akibat peringatan daripada BADAR,” katanya.
Dr Chua berkata beberapa faktor risiko bunuh diri wujud sebelum si mati memasuki SMKA Tun Datu Mustapha iaitu NSSI, perpisahan atau perceraian ibu bapa, konflik dengan ibu bapa, sensitiviti sosial, kemarahan atau keagresifan (lisan), sejarah penggunaan rokok elektronik dan keinginan untuk mati.
Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah telah memohon penilaian psikiatri si mati daripada Kementerian Pendidikan pada 17 Sept 2025 bagi membantu Mahkamah Koroner mencapai matlamat prosiding inkues itu.
Sepasukan tiga anggota telah dilantik terdiri daripada Dr Chua, bersama-sama Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Dr Nurulwafa Hussain dan Ahli Psikologi Klinikal Norhameza Ahmad Badruddin.
Dr Chua berkata beliau pernah memberi keterangan sebagai saksi pakar dalam kes bunuh, pengedaran dadah dan kesalahan seksual yang dirujuk bagi penilaian mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah selain menjadi saksi di Mahkamah Tinggi dan Rendah di Semenanjung Malaysia dan Sabah, serta di Mahkamah Syariah.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, iaitu sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan prosiding inkues dijalankan susulan semakan semula ke atas laporan siasatan polis.
Sebelum itu, pada 8 Ogos tahun sama, AGC telah mengeluarkan perintah agar kubur pelajar itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
-- BERNAMA