AM

Kedaulatan Undang-undang Harus Ditegakkan Secara Konsisten - PM

02/04/2026 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedaulatan undang-undang harus ditegakkan secara konsisten di peringkat antarabangsa, dan memberi amaran bahawa pelaksanaan secara terpilih boleh menjejaskan kredibilitinya.

Berucap pada majlis perasmian Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026 di Universiti Malaya (UM) di sini, beliau berkata kedaulatan undang-undang kekal sebagai prinsip asas yang memastikan undang-undang dapat diakses dan dikuatkuasakan kepada semua.

Anwar berkata kedaulatan undang-undang dalam hubungan antarabangsa perlu dilaksanakan secara konsisten dan bukan secara terpilih, kerana ia tidak boleh digunakan untuk melindungi satu pihak daripada akauntabiliti dan pada masa sama, menafikan hak semula jadi pihak lain untuk mempertahankan diri. 

“Kredibilitinya (kedaulatan undang-undang) bergantung kepada konsistensi pelaksanaan… dalam arena geopolitik, kita menyaksikan kedaulatan undang-undang digantikan dengan undang-undang rimba, iaitu di mana idealisme keadilan yang canggih digantikan dengan naluri asas manusia dan kekuatan dianggap sebagai hak.

“Terdapat ironi yang mendalam di sini, suatu bentuk kemunafikan yang licik, malah saya berani menyifatkan ia sebagai satu bentuk penyimpangan nilai yang bersifat patologikal apabila sebahagian penyokong tegar kepada tatanan antarabangsa berasaskan peraturan bukan sahaja gagal mematuhinya malah memperlihatkan penghinaan yang mutlak terhadapnya,” kata beliau dalam ucaptama. 

Perdana Menteri juga berkata kedaulatan undang-udang bukan sahaja penting dalam kehidupan harian rakyat malah turut menjadi asas dalam membentuk hubungan antara negara.

Anwar membuat kenyataan itu dalam konteks konflik berterusan di Asia Barat yang telah mencetuskan krisis tenaga global susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang kemudian dibalas oleh Tehran dengan serangan peluru berpandu serta dron. 

Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Penaung CLEA Tan Sri Nallini Pathmanathan, Pro-Canselor UM Tan Sri Zainun Ali dan Naib Canselor UM Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540219