KANGAR, 2 April (Bernama) -- Seorang penolong pegawai hal ehwal Islam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan pendaftaran semula saudara baharu berjumlah RM135,000, empat tahun lepas.
Mohammad Nurhelmy Norman, 29, yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing selepas digantung tugas, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi.
Lelaki itu didakwa menggunakan dokumen mengandungi butir matan palsu dengan niat memperdayakan prinsipalnya melibatkan tuntutan bayaran pendaftaran semula dua saudara baharu berjumlah RM3,500 pada 2022, 15 orang berjumlah RM40,000 pada 2023 dan 33 orang berjumlah RM91,500 pada 2024.
Kesalahan itu didakwa dilakukan semasa dia berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred 29 di Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di pejabat JAIPs, Kompleks Islam Perlis, Persiaran Jubli Emas di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai terlibat atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat melaporkan diri di Pejabat SPRM di sini setiap bulan dan menetapkan sebutan semula pada 20 Mei untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala lelaki itu diwakili peguam Siti Salwa Ja'afar.
-- BERNAMA