JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Johor Bongkar Sindiket Proses Ketum Di Kilang Sewa

02/04/2026 12:50 PM

JOHOR BAHRU, 2 April (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor membongkar sindiket penjualan air ketum yang menjadikan sebuah kilang sewa sebagai makmal pemprosesan di Taman Kempas Utama, di sini melibatkan rampasan bernilai RM76,796 pada Februari lepas.

Pengarahnya Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata serbuan pada 9.30 malam 27 Feb dilakukan menerusi cawangan narkotik Johor hasil maklumat risikan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) dan Cawangan Risikan Zon Selatan.

Beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan dipercayai berperanan sebagai pengurus dan dua pekerja wanita Indonesia yang berusia antara 28 hingga 35 tahun.

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi antara satu hingga dua tahun dengan bekalan daun ketum diambil dari Kedah,” katanya pada sidang media di Stor Bahagian Penguatkuasaan JKDM Johor di sini hari ini.

Aminul Izmeer berkata menerusi operasi itu, sebanyak 442.9 kilogram (kg) daun ketum, 1,642.5 liter air ketum, 200 tong gas, 150 periuk masak dan 50 tungku dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM66,991.

Air ketum itu dijual kepada pelanggan tetap terdiri daripada warga tempatan pada harga RM16 sebotol bagi 1.5 liter.

Aminul Izmeer berkata sebelum itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Kampung Kempas Denai pada 9 malam hari sama, yang terletak dua kilometer dari kilang itu kerana dipercayai menjadi lokasi menjual air ketum tersebut.

Pemeriksaan di rumah itu menemukan timbunan bungkusan plastik mengandungi daun ketum seberat 103 kg dan dua tong berisi 189.50 liter air ketum yang disembunyikan di dalam sebuah bilik dan bernilai RM9,805.

Beliau berkata sampel bahan rampasan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut bagi mengenal pasti jika terdapat campuran bahan lain.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Sekysen 30 (3) Akta Racun 1952 yang turut meliputi jika terdapat kemungkinan kegiatan itu mempunyai rangkaian lain termasuk penjualan ke luar negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2540116