KOTA KINABALU, 29 Mac (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan di kawasan lampu isyarat berhampiran Jesselton Quay, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata hasil semakan mendapati satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki berumur 30 tahun yang merupakan seorang guru pada 2.35 petang semalam.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 1.45 tengah hari pada hari sama selepas pengadu selesai menghadiri satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Siasatan awal mendapati, semasa pengadu menuju ke kenderaannya di kawasan tempat letak kereta berhampiran gudang sebuah syarikat kurier di Pelabuhan Kota Kinabalu, dia telah berhadapan dengan beberapa individu yang dipercayai pekerja premis berkenaan.
“Berlaku provokasi lisan sebelum situasi menjadi tegang, menyebabkan pengadu bertindak mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja terlanggar sebuah kenderaan lain.
“Susulan itu, beberapa individu telah mengejar kenderaan pengadu dan bertindak agresif dengan memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang kenderaan tersebut. Pengadu turut mendakwa telah diugut supaya keluar dari kenderaan semasa kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Syed Lot berkata kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan memberikan jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus serta adil.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA