JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar IPTA Maut Kereta Terbabas Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak

30/03/2026 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Seorang penuntut wanita sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dalam kejadian di Kilometer 25.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, menghala ke Bentong, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Abang Kaderi Abang Wasli berkata pihak Kaunter Aduan Balai Polis Trafik Gombak menerima maklumat mengenai kemalangan maut tersebut pada 8.44 malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan konkrit di sebelah kanan laluan.

“Dalam kejadian kira-kira 7.20 malam itu, mangsa yang berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Selayang akibat kecederaan parah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Kaderi berkata mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Selayang untuk tindakan susulan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Rathana Kumar Vardaraju di talian 017-774 5565 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222.

— BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2539129