KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Iran mengutuk serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap institusi pengajian tingginya, menyifatkan ia sebagai "pelanggaran terang-terangan" undang-undang antarabangsa dan ancaman kepada komuniti saintifik global.
Dalam kenyataan pada Isnin, Pejabat Kaunselor Saintifik Iran untuk Asia Tenggara dan Oceania di Kedutaan Iran di Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Hak Asasi Manusia dan UNESCO supaya menunaikan tanggungjawab mereka melindungi komuniti sains dan akademik global.
Menurut pejabat itu, serangan termasuk ke atas Universiti Sains dan Teknologi Iran dan Universiti Teknologi Isfahan.
"Sebagai institusi awam, universiti mempunyai imuniti di bawah undang-undang antarabangsa. Sebarang pencerobohan terhadap pusat-pusat ini adalah pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan ancaman kepada komuniti saintifik global," menurut kenyataan itu.
Ia menambah bahawa di bawah Konvensyen Geneva, Konvensyen Hague, instrumen UNESCO dan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa, serangan yang disengajakan ke atas pusat pendidikan adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dan tertakluk pada pendakwaan undang-undang.
“Sains tidak mengenal sempadan dan kerosakan padanya adalah kerosakan kepada masa depan bersama umat manusia,” tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, komuniti saintifik Iran akan meneruskan laluannya dengan bergantung pada ilmu pengetahuan, daya tahan dan kerjasama antarabangsa.
Media Iran melaporkan beberapa serangan AS dan Israel terhadap kemudahan pendidikan termasuk Universiti Teknologi Isfahan serta Universiti Sains dan Teknologi Iran di Tehran.
-- BERNAMA