EKONOMI

SC Lancar FIKRALab Pacu Pembangunan Produk Pasaran Modal Islam

26/03/2026 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan Makmal Inovasi ICM (FIKRALab) iaitu platform penciptaan bersama berstruktur serta penyelidikan dan pembangunan gunaan untuk membangunkan produk dan instrumen baharu pasaran modal Islam (ICM).

SC menjelaskan FIKRALab merupakan inisiatif mengikut Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 itu bertujuan memajukan ICM Malaysia berasaskan maqasid syariah dan berpandukan prinsip halal, suci dan bersih.

“Melalui FIKRALab, SC mahu memangkinkan pembangunan produk dan perkhidmatan ICM yang dipacu maqasid al-syariah yang memberikan objektif beretika, nilai ekonomi sebenar serta impak sosial yang lebih luas.

“Inovasi ini bertujuan memelihara keperluan asas kesejahteraan manusia iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta di samping menyelaraskan modal dengan aktiviti ekonomi yang produktif serta memajukan kemakmuran bersama dan mampan,” menurut pihak kawal selia itu dalam kenyataan hari ini.

SC memaklumkan FIKRALab dibangunkan berasaskan usaha sekian lama dalam memupuk inovasi ICM.

Usaha itu bermula dengan FIKRA, program pemecut teknologi kewangan Islam Malaysia yang dilancarkan pada 2021, diikuti FIKRA ACE yang dipertingkatkan, yang memberi tumpuan kepada pemudahan bersasar, penglibatan industri dan kesalinghubungan ekosistem dalam teknologi kewangan.

“FIKRALab memperluas pembangunan ekosistem dengan melangkaui inovasi ICM bertumpuan teknologi kewangan, seterusnya membolehkan kerjasama lebih erat dan penciptaan bersama lebih kukuh antara SC dan industri dalam penjanaan idea, penyelidikan, reka bentuk produk serta ujian rintis.

“Platform itu memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan instrumen dan penyelesaian baharu yang selaras dengan maqasid al-syariah,” jelas SC.

SC menambah FIKRALab dijangka menghasilkan fungsian, produk dan infrastruktur ICM baharu dengan hasil berasaskan nilai lebih jelas, di samping penglibatan lebih aktif antara industri dan pihak kawal selia serta peningkatan keyakinan pasaran terhadap inovasi, berteraskan maqasid al-syariah.

Antara ciri utama FIKRALab ialah Klinik Maqasid al-Syariah, iaitu pendekatan berstruktur merangkumi sesi libat urus terpilih diterajui SC dan simposium pengetahuan bersama-sama pakar dalam bidang yang dikenal pasti untuk menilai dan menambah baik produk ICM sedia ada, tambah suruhanjaya itu.

“Melalui klinik ini, SC akan bekerjasama dengan peserta industri, penasihat syariah dan pakar bidang berkaitan yang dikenal pasti untuk memperkukuh saranan nilai terhadap instrumen ICM semasa, menguatkan lagi pautan dengan ekonomi sebenar serta memberikan impak sosial dan ekonomi yang lebih besar,” menurut SC.

SC memaklumkan FIKRALab akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan projek rintis bersama-sama sebuah institusi kewangan untuk membangunkan instrumen yang bertujuan membuka potensi pendapatan berasaskan syariah dalam kumpulan aktiviti campuran.

“Fasa seterusnya dijangka bermula pada suku keempat 2026, apabila permohonan bagi kohort pertama FIKRALab dibuka. Permohonan kohort dijangka diadakan setiap tahun, dengan bidang tumpuan berbeza bagi setiap kitaran,” jelasnya.

Bidang tumpuan bagi kohort pertama termasuk produk dan perkhidmatan ICM generasi baharu yang menawarkan saranan nilai baharu sepenuhnya, kewangan sosial dan modal sosial Islam serta pembiayaan kelestarian dan peralihan.

SC menjelaskan kalangan inovator dan pihak berkepentingan industri yang mempunyai cadangan untuk inovasi produk ICM boleh mendaftarkan minat masing-masing dan berhubung dengan SC melalui FIKRALab@seccom.com.my sebelum 30 Sept, 2026.

Maklumat lanjut akan diumumkan apabila diperlukan, menurut SC.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2537912