Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, menjejaki penurunan harga minyak mentah berikutan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) - Iran yang semakin reda, kata seorang peniaga.
Ketika ini, minyak mentah Brent turun 4.45 peratus kepada US$99.84 setiap tong (US$1 = RM3.94).
Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata penyusutan harga minyak soya turut menambah tekanan kepada minyak sawit kerana kedua-dua komoditi bersaing dalam pasaran minyak masak global.
“Kami mengesan paras sokongan di atas RM4,450 satu tan dan paras rintangan pada RM4,600 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup dagangan, kontrak April 2026 turun RM58 kepada RM4,445 satu tan, Mei 2026 merosot RM47 kepada RM4,495 satu tan, manakala Jun 2026 turun RM41 kepada RM4,496 satu tan.
Sementara itu, kontrak Julai 2026 turun RM32 kepada RM4,480 satu tan, Ogos 2026 susut RM22 kepada RM4,460 satu tan, manakala September 2026 merosot RM13 kepada RM4,438 satu tan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 90,703 lot daripada 65,523 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka naik kepada 237,177 kontrak daripada 233,457 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal bagi April Selatan susut RM40 to RM4,500 satu tan.
-- BERNAMA