KOTA KINABALU, 25 Mac (Bernama) -- Polis Sabah belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung dakwaan pembebasan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony melalui parol.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata perkara berkaitan parol berada di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara dan bukan polis.
“Kami tidak terima apa-apa maklumat lagi yang secara rasmi daripada mana-mana pihak. Tiada komen. Sebab tiada notis rasmi kami terima,” katanya pada Majlis Perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di sini hari ini.
Beliau ketika mengulas sama ada individu berkenaan perlu melapor diri kepada polis berkata pihaknya perlu mendapatkan komen daripada Pengarah Penjara.
Terdahulu, bekas Menteri Infrastruktur Sabah yang sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang atas sabitan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dilaporkan dibebaskan secara parol dua minggu lepas.
Pada 26 Mei 2022, Peter dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah memalsukan surat daripada pejabat Timbalan Naib Canselor UMS dengan memasukkan kenyataan palsu dengan niat untuk memperdaya.
Pada 4 Mac 2025, Mahkamah Rayuan menolak rayuan terhadap sabitan serta hukuman, dan memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara itu bermula pada hari sama.
Peter kekal menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakan terhadap sabitan dan hukuman pada 20 Ogos 2025.
Beliau pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Umum 2018 dan 2020 di bawah Parti Warisan.
-- BERNAMA