KUALA KRAI, 23 Mac (Bernama) -- Beberapa jalan Persekutuan di Kelantan dijangka sesak hari ini berikutan warga perantau mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti meraikan Aidilfitri di kampung halaman Sabtu lepas.
Setakat 1.30 tengah hari, tinjauan Bernama di Jalan Pasir Puteh-Kuala Terengganu, Terengganu dan Jalan Machang-Kuala Krai-Gua Musang mendapati aliran trafik bergerak perlahan susulan pertambahan kenderaan.
Pengguna jalan raya, Rosmaliza Adnan, 43, berkata dia memulakan perjalanan dari kampungnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu kira-kira 10 pagi tadi untuk pulang ke Kuala Lumpur.
"Saya terpaksa berhenti rehat seketika di stesen minyak di sini (Kuala Krai) sebab berasa letih memandu dengan masa yang terlalu lama.
"Memang saya selalunya akan balik awal sehari atau dua hari selepas cuti raya sebab nak berehat selepas sampai rumah nanti dan tidak mahu mengambil risiko sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas terlalu lama," katanya ketika ditemui Bernama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata anggotanya telah diarahkan untuk membuat rondaan dan pemantauan secara berkala di laluan Kuala Krai-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Lipis, Pahang kerana dijangka berlaku pertambahan kenderaan hari ini.
"Perancangan awal telah dibuat bagi menghadapi peningkatan aliran trafik terutama di laluan utama keluar dari Kelantan.
"Kawalan serta penyuraian trafik akan dilaksanakan bergantung kepada keadaan semasa lalu lintas bagi memastikan perjalanan warga perantau menjadi lebih lancar," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota bertugas dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
"Kita harap pengguna jalan raya mengatur masa perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas bertambah buruk," katanya.
-- BERNAMA