AM

Pulau Pinang Akan Lancar Penerbangan Terus Pertama Ke Qingdao Pada 31 Mac - Exco

23/03/2026 02:59 PM

GEORGE TOWN, 23 Mac (Bernama) -- Pulau Pinang bakal melancarkan penerbangan terus pertamanya yang menghubungkan Qingdao, China ke negeri itu pada 31 Mac, yang menandakan satu kemajuan penting dalam usaha meningkatkan hubungan udara antara Malaysia dan China.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata laluan baharu yang akan dikendalikan oleh Qingdao Airlines itu merupakan perkembangan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala, terutamanya dalam pelancongan, perdagangan dan pertukaran budaya.

“Dengan pengenalan laluan ini, Qingdao akan menjadi bandar paling utara China yang kini dihubungkan ke Pulau Pinang melalui penerbangan terus.

“Kemajuan penting ini mencerminkan pengembangan berterusan hubungan udara Pulau Pinang dengan China, sekali gus meningkatkan liputan rangkaian kami secara progresif dan mengukuhkan keseluruhan kesalinghubungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong, ketika ini mengetuai delegasi negeri ke Wilayah Shandong bagi menghadiri majlis Pelancaran Penerbangan Terus Qingdao-Pulau Pinang dan Pemadanan Kerjasama yang diadakan semalam bertujuan memanfaatkan laluan baharu tersebut untuk meningkatkan pelancongan dan kerjasama ekonomi.

Memetik data daripada Biro Perangkaan Wilayah Shandong, beliau berkata populasi wilayah berkenaan mencecah 104.3 juta pada akhir 2025 dan laluan baharu itu dijangka berfungsi sebagai pintu masuk ke bandar utama lain di wilayah tersebut termasuk Yantai, Jinan, Zibo, Weifang, Weihai dan Rizhao.

Wong berkata laluan itu juga akan membolehkan Pulau Pinang memanfaatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Qingdao Jiaodong sebagai hab strategik, meningkatkan ketersambungan ke bandar di Timur Laut China seperti Harbin, Changchun, Yanji dan Dalian, sekali gus membuka peluang yang lebih besar untuk meneroka pasaran Utara China.

“Di samping itu, rangkaian Qingdao Airlines yang meliputi bandar utama seperti Seoul, Jeju dan Daegu di Korea Selatan, serta Osaka dan Nagoya di Jepun bukan sahaja akan menghubungkan Pulau Pinang dengan Shandong dan Timur Laut China, tetapi juga meletakkan Pulau Pinang dalam pasaran Timur Laut Asia yang lebih luas, sekali gus memperkukuh ketersambungan serantau,” katanya.

Sementara itu, Naib Datuk Bandar Qingdao, Gao Jian berkata Malaysia kini merupakan sumber pelancong ketiga terbesar ke Qingdao.

"Dengan pelancaran penerbangan terus ini, satu laluan akan menghubungkan dua bandar yang meriah dan rancak membangun serta mengurangkan masa perjalanan kepada perjalanan pada hari yang sama," katanya.

Beliau juga menggariskan tiga bidang kerjasama utama iaitu memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan, pertukaran budaya dan pelancongan dan meningkatkan hubungan antara rakyat melalui penglibatan pelbagai peringkat.

— BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2536792