AM

Cuaca Panas Berpanjangan Berisiko Jejas Keseimbangan Ekosistem - Pakar

23/03/2026 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Fenomena cuaca panas berpanjangan bukan sahaja memberi kesan dari aspek kesihatan malah mempengaruhi keseimbangan ekosistem, meningkatkan risiko kemarau dan kebakaran hutan serta menjejaskan sumber air permukaan seperti sungai dan empangan.

Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim Negara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dr S. Mogesh berkata suhu tinggi dan keadaan kering yang berlarutan itu boleh menjejaskan sistem semula jadi serta sosioekonomi negara.

“Dalam sektor pertanian, cuaca panas berpanjangan boleh mengurangkan hasil tanaman serta menjejaskan produktiviti ternakan seterusnya memberi implikasi kepada keselamatan makanan negara.

“Cuaca panas berpanjangan juga akan menyebabkan permintaan tenaga elektrik meningkat secara mendadak akibat penggunaan penyaman udara, sekali gus memberi tekanan kepada sistem tenaga dan berpotensi meningkatkan pelepasan karbon sekiranya bergantung kepada bahan api fosil,” katanya kepada Bernama.

Aktivis Alam Sekitar itu berkata perkara yang lebih membimbangkan ialah kesan jangka panjang di kawasan bandar seperti fenomena ‘pulau haba bandar’, yang menjadikan keadaan lebih panas berbanding kawasan sekitar.

“Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup tetapi juga meningkatkan kebergantungan kepada tenaga untuk penyejukan. Pendekatan perlu diambil bagi memperkukuh langkah adaptasi seperti pengurusan sumber air yang lebih cekap, perancangan bandar hijau serta sistem amaran awal yang berkesan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas lebih berisiko terhadap gelombang haba kerana keupayaan badan mereka untuk mengawal suhu lebih terhad.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar kekal hidrat dengan memperbanyakkan minum air, memakai pakaian longgar dan cerah serta memastikan pengudaraan baik dalam kenderaan mahupun di rumah.

“Apabila berada dalam rumah atau kenderaan, pastikan ventilasi persekitaran baik dengan membuka tingkap atau menggunakan pendingin hawa selain, kerap mandi dan minum air untuk menurunkan haba,” katanya.

Sharifa Ezat turut mengingatkan ibu bapa agar peka terhadap tanda demam dan strok haba dalam kalangan anak-anak dan mendapatkan rawatan segera sekiranya anak mengalami demam akibat terdedah kepada cuaca panas yang terlalu lama.

“Elakkan bermain di luar rumah ketika cuaca terlalu panas serta kurangkan aktiviti sukan atau riadah dalam tempoh yang lama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2536804