KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menzahirkan ucapan itu bagi pihak ahli keluarga, petugas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, selain seluruh kepimpinan dan ahli UMNO.
“Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Yang di-Pertuan Agong.
“Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor pada 23 Mac 2026 bersamaan 3 Syawal 1447 Hijrah,” katanya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, turut merafak sembah ucapan sama kepada baginda.
“Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Allah Peliharakan Sultan, Dirgahayu Tuanku,” katanya.
Turut menzahirkan ucapan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, yang mendoakan agar Seri Paduka Baginda dikurniakan keafiatan berpanjangan serta dilanjutkan usia. Beliau juga berharap Tuanku terus berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT dalam memayungi rakyat dan negara.
“Semoga Allah SWT melanjutkan usia Kebawah Duli Tuanku, dikurniakan kesihatan berkekalan serta rahmat berpanjangan dengan segala kemuliaan dan kebesaran. Daulat Tuanku! Allah Peliharakan Sultan,” menurut kenyataan beliau di Facebook.
-- BERNAMA