KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Seniman Negara yang diraikan pada 22 Mac setiap tahun, sebagai menghargai sumbangan besar penggiat seni tanah air.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata sambutan tahun ini yang bertemakan “Syawal Seni, Jiwa MADANI” merupakan satu bentuk penghargaan kepada semua seniman dan penggiat industri kreatif yang sentiasa memperkaya identiti serta menyatukan masyarakat melalui karya mereka.
“Kerajaan MADANI komited memperkasa industri kreatif melalui empat dasar utama iaitu Dasar Industri Kreatif Negara, Dasar Filem Negara, Dasar Penyiaran Negara dan Dasar Muzik Negara.
“Semoga industri ini terus maju, mampan dan berdaya saing. Terima kasih, teruskan berkarya untuk Malaysia,” katanya.
Hari Seniman Negara disambut pada 22 Mac bersempena ulang tahun kelahiran Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai tanda mengenang karya serta jasa bakti penggiat seni tanah air.
-- BERNAMA