KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul atas mandat baharu diterimanya untuk kekal menerajui negara itu.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan Anutin sebagai “sahabat karib” serta menyatakan harapan agar hubungan dan kerjasama erat antara kedua-dua pemimpin itu akan terus diperkukuh.
“Sebagai jiran terdekat dan rakan dalam ASEAN, Malaysia dan Thailand berkongsi kepentingan besar terhadap kejayaan satu sama lain. Nasib kita ibarat dua sungai yang berpunca dari mata air yang sama.
“Saya berharap untuk meneruskan hubungan kerja dengan Perdana Menteri Anutin serta memperkukuh kerjasama Malaysia-Thailand, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kerjasama sempadan serta kestabilan serantau yang lebih luas,” kata beliau.
Menurut laporan media antarabangsa, Anutin terpilih semula sebagai Perdana Menteri Thailand selepas memperoleh kemenangan besar dalam undian Parlimen pada Khamis.
Keputusan rasmi yang dikeluarkan Parlimen Thailand, menunjukkan Anutin yang juga Pengerusi Parti Bhumjaithai memperoleh 293 undi, menewaskan pengerusi Parti Rakyat Natthaphng Ruengpanyawut yang menerima 119 undi. Daripada 498 ahli yang mengundi, 86 ahli tidak berbuat demikian.
-- BERNAMA