AM

Kerajaan Selangor Pastikan Fasiliti Keterhubungan LRT3 Lengkap Dan Kondusif - Exco

01/07/2026 02:59 PM

SHAH ALAM, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang menggerakkan langkah bagi memastikan fasiliti keterhubungan di sekitar stesen LRT3 Laluan Shah Alam dilengkapkan dengan segera dalam menjamin persekitaran yang kondusif kepada pengguna. 

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Ng Sue Lim berkata pihaknya kini sedang menumpukan untuk menyelesaikan isu berbangkit di sekitar Stesen Stadium Shah Alam dan Stesen Dato’ Menteri membabitkan infrastruktur seperti laluan pejalan kaki dan lintasan zebra. 

“Untuk Stesen Dato’ Menteri saya dimaklumkan ia melibatkan perkara seperti permohonan permit dan sebagainya dan kita telah arahkan supaya Prasarana untuk menyiapkan fasiliti yang berkaitan untuk disiapkan dalam tempoh dua bulan. 

“Bagi Stesen Stadium Shah Alam perlukan sedikit masa kerana ia melibatkan proses tender oleh pemaju yang berdekatan tetapi kita akan pantau,” katanya pada sidang media selepas meninjau infrastruktur keterhubungan awam di sekitar stesen LRT3, hari ini. 

Ng berkata sesuatu projek yang baru disiapkan pasti akan ada sedikit kelemahan tetapi selepas isu dikenal pasti pihak berkaitan akan diminta menyelesaikannya dengan segera.

Katanya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga akan memantau perkembangan penambahbaikan itu selain mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama pemaju berkaitan bagi memastikan proses dijalankan secepat mungkin untuk menyediakan fasiliti yang baik kepada pengguna. 

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai stesen di daerah masing-masing juga akan diarahkan untuk melakukan semakan bagi mengenal pasti sebarang kekurangan membabitkan fasiliti keterhubungan. 

“Kita akui ada kelemahan, namun kita ambil langkah drastik untuk kita cuba selesaikan saya akan minta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan mana mana PBT berkaitan untuk pantau semua dan ahli majlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga kena bagi maklum balas,” katanya. 

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575287